Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 4/2025
Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 4/2025
27 Januari 2026
10.00 pagi
Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia
Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 4/2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Yang Berhormat Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Bagi Fasa 4 Tahun 2025, sebanyak 71 permohonan bantuan dana rumah ibadat agama-agama lain melibatkan peruntukan berjumlah RM13,638,960 telah diluluskan.
Dalam majlis tersebut, cek bantuan telah diserahkan kepada 37 Ahli Yang Berhormat serta wakil-wakil Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan supaya dana bantuan yang diluluskan digunakan sepenuhnya bagi tujuan projek yang dipohon. Beliau turut mengingatkan pihak rumah ibadat agar mengemukakan laporan kemajuan projek kepada UNIFOR mengikut tempoh yang ditetapkan, dan menegaskan bahawa kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan pertimbangan bagi permohonan bantuan seterusnya.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa semua permohonan bantuan dana UNIFOR hendaklah dikemukakan melalui The Other Religions Service Management System (ORSEM) yang telah dilancarkan pada 7 Disember 2025. Penggunaan sistem ini bertujuan untuk memperkemas pengurusan permohonan serta memastikan proses yang lebih teratur dan telus.
Sehubungan itu, Yang Berhormat Datuk Amar turut menggesa pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar mengemukakan permohonan projek UNIFOR selewat-lewatnya pada hujung Februari 2026 bagi membolehkan proses kelulusan dilaksanakan lebih awal, seterusnya membolehkan pengagihan cek bantuan dibuat pada awal Jun 2026.