Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain Bersempena Dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tahun 2025
Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain Bersempena Dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tahun 2025
Tarikh: 10.10.2025, (Jumaat)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Imperial Hotel, Kuching
Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena sambutan Hari Lahir Ke-79 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya. Tetamu Kehormat Majlis ini adalah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar sendiri bersama isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi.
Majlis ini mencatat sejarah tersendiri kerana buat julung kalinya Tuan Yang Terutama Tun menghadiri Majlis Kesyukuran anjuran Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain yang menghimpunkan pelbagai agama di Kuching, Sarawak sekali gus mencerminkan iltizam kepimpinan dalam memupuk keharmonian antara agama dan memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kepercayaan.
Kehadiran ketua-ketua agama serta wakil-wakil daripada pelbagai agama yang terdiri daripada Kristian, Buddha, Tao, Baha’i, Hindu dan Sikh memeriahkan lagi suasana dan menonjolkan kekayaan budaya serta kepelbagaian masyarakat di Sarawak.
Antara pengisian majlis ini ialah bacaan doa Kesyukuran Sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Tun serta persembahan-persembahan khas daripada wakil-wakil agama Kristian, Buddha, Tao, Baha’i, Hindu dan Sikh.
Setiap persembahan mencerminkan keunikan dan keharmonian dalam kepelbagaian, sekaligus menzahirkan semangat muhibah yang menjadi asas perpaduan rakyat Sarawak.
Sempena majlis yang penuh bermakna ini, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain merakamkan ucapan Selamat Hari Lahir kepada Tuan Yang Terutama Tun dengan doa agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan dan Kesejahteraan berterusan.