KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah hadir menyempurnakan simbolik penyerahan bendera Sarawak kepada ketua delegasi Perkhidmatan Awam Sarawak yang akan ke negara Sri Lanka dan Jepun di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Isnin.
Delegasi Perkhidmatan Awam Sarawak yang akan ke Colombo, Sri Lanka dijadual menyertai International Convention on Quality Control Circles 2024 (ICQCC).
Rombongan tersebut akan diketuai oleh Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Superi Awang Said dan disertai seramai 35 orang pegawai bermula dari 11 hingga 14 November 2024.
ICQCC merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal inovasi dari seluruh dunia untuk bersaing dan berkongsi idea, pengalaman serta kepakaran dalam usaha meningkatkan produktiviti.
Sebanyak empat Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang merupakan pemenang Anugerah Inovasi Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2023 akan mewakili Sarawak dalam ICQCC 2024.
Antaranya Kumpulan LANDS TAHAI Q daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang, Kumpulan EAGLE (Majlis Perbandaran Sibu), Kumpulan IPOK kPejabat Residen Mukah) dan Kumpulan TECHSKAP (Lembaga Kemajuan Bintulu).
Sementara itu, lawatan penanda aras inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke Jepun pula akan berlangsung dari 1 hingga 6 Disember 2024.
Delegasi tersebut akan disertai seramai 19 orang pegawai sebagai penghargaan atas dedikasi dan usaha gigih kumpulan KIK semasa program ICQCC 2022 di Jakarta, Indonesia.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan inovasi dan peningkatan kualiti penyampaian sektor awam melalui bengkel, simulasi, serta latihan praktikal yang akan dikendalikan oleh pakar dari Jepun.
Antara delegasi yang akan turut serta dalam lawatan tersebut ialah tiga kumpulan yang pernah memenangi anugerah semasa program ICQCC 2022 iaitu kumpulan SIRIUS PRIME daripada Majlis Bandaraya Miri yang telah berjaya membawa pulang The Prime Gold Award, manakala kumpulan SASSOKU TECH dan INNOTECH Q9 daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching dan Bahagian Bintulu masing-masing pula telah memenangi Gold Award dalam konvensyen tersebut. -EDISI UKAS