BANDAR SERI BEGAWAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan penutupan program One Team Retreat (OTR) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.
Ketibaan beliau pada jam 9.30 pagi diiringi Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Semasa berucap, Datuk Patinggi Abang Zohari telah berkongsi beberapa perkara penting berhubung pentadbiran Sarawak termasuk berkaitan cabaran global yang dihadapi dalam sistem pentadbiran, kepentingan pendekatan sistematik dalam penyampaian perkhidmatan serta penambahbaikan berterusan menjelang 2030.
Ucapan beliau diakhiri dengan seruan kepada semua peserta dalam program tersebut, yang terdiri daripada Anggota Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS), agar terus bekerjasama dalam menghadapi cabaran dan memastikan Sarawak terus berkembang dengan cara yang inovatif dan kompetitif.
"SCS harus mempunyai satu pemikiran yang seiring. Anda perlu bersatu dalam satu platform menggunakan teknologi yang sama dengan pemikiran yang sama.
"Kami dalam kabinet akan berusaha untuk memodenkan sistem supaya kita tiada masalah dalam menghadapi cabaran mendatang. Saya juga percaya strategi kita dilihat oleh dunia,"katanya.
Terdahulu, Premier Sarawak telah mendengar laporan dan pandangan yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menerusi ucapan aluannya.
Laporan berkenaan adalah berdasarkan hasil daripada lima kertas kerja kumpulan yang telah dibentangkan pada hari pertama program itu diadakan.
Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Turut hadir Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Buckland Bangik (Pentadbiran) dan Datu Hii Chang Kee (Operasi) serta Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) merangkap ketua sekretariat utama Superi Awang Said.
Seramai 125 ketua jabatan dari pelbagai agensi dan badan berkanun di Sarawak telah menyertai Program OTR 2024 yang diadakan selama tiga hari dua malam di sini, bermula Selasa.