Bengkel Quality Control (QC) Tools Application and Workshop

Posted on 27 May 2024
Source of News: STIU
KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah mengadakan Bengkel Quality Control (QC) Tools Application and Workshop bertempat di sebuah hotel di Kuching. Seramai 145 peserta terdiri daripada wakil Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) telah menghadiri bengkel selama dua hari yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan bimbingan dalam penggunaan alat-alat Quality Control (QC) secara efisien dan efektif.

Peserta-peserta bengkel ini adalah terdiri daripada pasukan KIK yang telah menghantar penyertaan untuk menyertai konvensyen mini pada tahun 2024. Penyertaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding 179 penyertaan pada tahun sebelumnya. Kesemua 221 pasukan yang mendaftar pada tahun ini akan menampilkan projek masing-masing dalam konvensyen mini sama ada di peringkat kementerian, jabatan, pihak berkuasa tempatan, pentadbiran bahagian mahupun di peringkat agensi persekutuan sebelum melayakkan diri ke peringkat Sarawak Civil Service Innovation Convention Award (SCSICA).

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee dalam majlis perasmian, telah menekankan kepentingan inisiatif inovasi dan kreativiti dalam menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan awam Sarawak. Beliau juga berkata, pembudayaan inovasi dan kreativiti dapat menyumbang ke arah pencapaian matlamat Aspirasi Sarawak 2030.

Beliau memaklumkan bahawa pembudayaan inovasi dan kreativiti juga merupakan platform bagi penjawat awam untuk berkongsi dan bertukar idea-idea yang bernas mengenai inisiatif inovasi serta kaedah terbaik untuk penambahbaikan yang berterusan. Beliau juga menambah bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pasukan-pasukan KIK atas sumbangan serta usaha mereka dalam memastikan projek inovasi dapat memberikan hasil yang positif terhadap pemerkasaan mutu penyampaian perkhidmatan awam Sarawak.

Pengarah STIU Encik Superi Awang Said, ditemui semasa majlis perasmian telah memaklumkan bahawa bengkel ini adalah sebahagian usaha berterusan yang dilaksanakan oleh STIU bagi memastikan inisiatif KIK untuk mewujudkan budaya inovatif dan kreatif dalam perkhidmatan awam Kerajaan Sarawak. Beliau turut memaklumkan bahawa dalam bengkel ini perkongsian mengenai kriteria pemarkahan SCSICAdan alat-alat Quality Control (QC) yang diguna pakai memastikan kebersediaan para peserta KIK untuk menterjemahkan projek mereka dalam bentuk laporan dan persembahan.

Perancangan yang telah djalankan oleh STIU bermula dengan pendaftaran pasukan KIK oleh setiap agensi, jerayawara KIK, taklimat berkaitan kriteria pemarkahan dan bengkel QC Tools dapat mempersiapkan setiap pasukan untuk mengharungi konvensyen mini yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai hingga Ogos serta seterusnya SCSICA yang dijadualkan pada bulan Oktober tahun ini.