135 Penerima Dikurniakan Pingat & Darjah Kebesaran Negeri Sarawak

Disiarkan pada 28 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Seramai 135 penerima dikurniakan Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Besar Astana Negeri Sarawak di sini, pada Khamis.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada empat penerima iaitu Kolonel Ts Mohd Afendi Abu Bakar, Galan Ngadit, Dr Faris Kamarudin dan Fu Shiow Chyun.

Ia diteruskan dengan pengurniaan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada 11 penerima didahului Anuar Da’an, Asan Odau, Aston Bobby Andy Chunting, Ir Awang Ariffin Awang Bujang serta Ir Ts Chang Kueh Chin.

Seterusnya, sesi diteruskan lagi dengan pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada 20 penerima, antaranya ialah Supt. Bingkok John, Bolkiah Sirah, Bruce Kini Jesse serta Prof Madya Dr Norazirah Ayob.

Turut dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) kepada sembilan penerima didahului oleh Anthony Jiram, Busiai Seman, Chai Siaw Fong serta Halim Mohamad.

Selain itu, juga dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) kepada sembilan penerima antaranya Kingsley Pengiran Balang, Tuai Rumah Ramie Jaritan, Sana Nisau, Than Shau Bui, serta Nadia Suhaili manakala penerima Pingat Penradbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dikurniakan kepada 44 penerima antaranya ialah Abdul Razak Zainoren, Bahtiar Afendi, David Mogei, John Nyo-Em serta penerima lain.

Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat pagi ini disudahi dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) kepada 38 penerima yang didahului oleh Abang Morni Abang Busrah, Abdul Talip Samsudin, Anuar Oloi serta Alwie Ali.

Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi.-EDISI UKAS