KUCHING: Kepakaran jurutera dalam pelbagai bidang diperlukan bagi membantu Sarawak membangunkan tiga projek utama yang dirancang bermula tahun hadapan hingga 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, suntikan RM100 bilion yang diumumkan beliau sebelum ini merangkumi tiga projek strategik iaitu, pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa baharu dan pembangunan infrastruktur elektrik, air dan telekomunikasi.
Justeru jelas beliau, khidmat pakar dalam bidang kejuruteraan amat diperlukan dalam bersama-sama menjayakan projek bagi tempoh lima tahun ini malah dijangka memakan masa melebihi tempoh berkenaan.
“Banyak kerja-kerja kejuruteraan diperlukan, seperti jurutera hidraulik yang benar-benar mahir dalam bidang ini terutamanya dalam sistem air.
“Ini semua projek besar memandangkan ianya melibatkan terminal gas dan menyentuh mengenai gas, ianya melibatkan sistem perpaipan dan di sini, kita memerlukan kepakaran jurutera dalam bidang itu untuk pengagihan gas,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad malam.
Premier Sarawak dalam pada itu memberi bayangan bahawa kerja-kerja pembinaan pelabuhan laut dalam ini akan melibatkan pengwujudan ‘pulau’, namun tidak dijelaskan lebih lanjut oleh beliau.
Sementara itu, inisiatif untuk membangunkan lapangan terbang antarabangsa sendiri bertepatan dengan hasrat untuk Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri apabila persetujuan jual beli MASwings akan dimuktamadkan bulan hadapan.
Sekali lagi, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kepakaran kejuruteraan dalam bidang pembuatan komponen kapal terbang pula diperlukan memandangkan wilayah ini mempunyai hala tuju untuk mengeluarkan komponen ini pada masa hadapan.
“Berkemungkinan kita juga memerluka jurutera dalam bidang ini, untuk mengeluarkan komponen kapal terbang kita sendiri, contohnya seperti sayap, dan komponen pesawat dan sebagainya.
“Apabila kita dapat mengeluarkan komponen-komponen seperti ini, ia dapa membantu kita mengeluarkan kapal terbang kita sendiri,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu jelasnya, kepakaran dalam bidang aeroangkasa tidak dilupakan memandangkan Kerajaan Persekutuan sudah mengenalpasti kedudukan di Sarawak sebagai platform untuk melancarkan satelit ke angkasa lepas.
“Kita akan meneruskan usaha kita untuk memastikan elektrik dan air dapat disalurkan ke seluruh Sarawak, mengambil kira kepentingan jaringan telekomunikasi yang memerlukan satelit.
“Kerajaan Persekutuan telah mengenalpasti Sarawak berpotensi untuk melancarkan satelit ke angkasa, dan ini memerlukan jurutera aeroangkasa,” jelas beliau lagi.
Sebagai langkah awal, Kerajaan Sarawak melalui Universiti i-Cats telah melancarkan fakulti kejuruteraan aerongkasa untuk melatih anak-anak Sarawak dalam bidang ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Presiden IEM Profesor Ir Jeffry Chiang Choong Luin, Pengerusi IEM Cawangan Sarawak Ir Stephanie Sim Hui Kheng, Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam IEM Sarawak Ir Dr Angelia Liew San Chuin serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS