Bangunkan Aplikasi Bantu Pelajar Lemah Dalam Pembelajaran

Disiarkan pada 23 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Satu aplikasi perlu dibangunkan untuk membantu pelajar yang kehilangan pembelajaran semasa pandemik Covid-19.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, memuji aplikasi yang direka oleh 'Team Agape' dari SMK St Anthony Sarikei, yang membantu kanak-kanak dengan keperluan khas belajar dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pasukan ini juga berjaya memenangi Anugerah Teknologi di 'Technovation World Summit' di Amerika Syarikat bulan lepas.

"Saya berharap ini (aplikasi) akan terus berkembang dengan lebih jauh, kerana kita tidak hanya mempunyai pelajar dengan keperluan khas, tetapi juga satu lagi kumpulan yang memerlukan perhatian khas, iaitu mereka yang terlibat dalam kehilangan pembelajaran, terutamanya semasa COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Girls Code di TEGAS Digital Village di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Dato Sri Roland menyeru agar guru-guru terus memberi galakan kepada pelajar untuk meneruskan inovasi dalam bidang teknologi, khususnya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

"Peganglah semangat itu, walaupun orang lain mempersoalkan idea anda, anggaplah itu sebagai peluang untuk menjadi lebih baik.

"Tetap kuat, dan pastikan tindakan anda sentiasa mencerminkan nilai-nilai yang anda pegang," tegasnya.

Pada majlis tersebut, Fusion Angel daripada SJKC Chung Hua Krokop, Miri berjaya meraih johan bagi Kategori 'Junior' (Sekolah Rendah) manakala TPG dari SMK Tinggi Kuching bagi kategori 'Senior' (Sekolah Menengah). -EDISI UKAS