KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian elaun khas bulanan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak sebagai tambahan kepada penyelarasan gaji dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, elaun tersebut akan bermula pada Januari 2025 berdasarkan gred kumpulan.
“Elaun khas akan mengikut kadar seperti berikut, RM400 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga Gred 4 dan RM500 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 5 hingga Gred 8.
“RM600 bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 9 hingga Gred 15 manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima elaun khas sebanyak RM700,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa Kerajaan Sarawak akan menerima pakai SSPA yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan semasa ucapan Belanjawan Negara.
“Ianya akan melibatkan penambahbaikan dan penyelarasan gaji semua anggota perkhidmatan awam di Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinannya sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak. -EDISI UKAS