Bantuan Khas RM1,200 Layak Kepada Semua Pelajar IPT Sarawak Tanpa Mengira Pendapatan Kapita Keluarga

Disiarkan pada 21 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Semua pelajar Institus Pengajian Tinggi (IPT) Sarawak layak untuk menerima bantuan wang khas sebanyak RM1,200 tanpa mengira pendapatan per kapita keluarga.

Berita gembira itu diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg susulan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan pendapatan per kapita sebagai kriteria kelayakan untuk bantuan ini.

“Saya telah mendengar kebimbangan ini dan dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa semua pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia akan layak tanpa mengira pendapatan keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungannya semasa hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Dalam ucapan Belanjawan Sarawak 2025 pada Isnin lepas, Premier Sarawak telah menjelaskan lebih banyak butiran mengenai pemberian wang saku sebanyak RM1,200 kepada pelajar dari kumpulan berpendapatan rendah dengan menetapkan pendapatan isi rumah per kapita sebanyak RM1,500 atau kurang.

Katanya, pemberian bantuan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan kebajikan golongan muda sentiasa diutamakan.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari ketika ditemui media selepas berakhir Persidangan DUN Sarawak Ke-19 berkata, mekanisme pembayaran akan dikendalikan oleh Yayasan Sarawak. -EDISI UKAS