KUCHING: Seramai 55,684 penduduk Sarawak telah menerima pelbagai jenis bantuan kewangan kebajikan melibatkan peruntukan sebanyak RM215 juta sehingga 31 Oktober 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pecahan jumlah peruntukan tersebut disalurkan melalui pelbagai jenis bantuan yang disediakan melalui agensi kerajaan.
Katanya, sejumlah RM4.5 juta telah disalurkan untuk manfaat 110 pesakit melalui Skim Bantuan Alat Tiruan/Sokongan, 184 pesakit di bawah Skim Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP), dan 52 pesakit menerusi Skim Bantuan Perubatan.
"Dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyalurkan bantuan bencana bernilai RM7.3 juta kepada 153,981 mangsa.
"Bantuan tertinggi adalah bagi bekalan air bersih sewaktu kemarau, melibatkan RM3.8 juta untuk 117,633 mangsa"katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Tambah beliau lagi, bagi menghadapi cabaran Monsun Timur Laut 2024/2025, Kerajaan Sarawak telah menyediakan stok bantuan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Samarahan, Mini Depoh di Miri dan Lawas, 16 stor bantuan bencana di pejabat kebajikan bahagian dan daerah, serta 31 Pangkalan Hadapan Bencana.
Dalam pada itu katanya, JKMS menjalankan latihan amal dan simulasi bencana di Bahagian Serian, Sri Aman, Samarahan, Kuching, dan Bintulu dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah bagi persediaan dalam menghadapi sebarang bencana alam.-EDISI UKAS