KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperketatkan syarat kemasukan syarikat mahupun pekerja luar yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pematuhan syarat-syarat yang ketat ini tidak berniat untuk menyusahkan sesiapa, tetapi mahu undang-undang negeri ini dihormati dan dipatuhi kerana menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan undang-undang ditegakkan.
“Sebagai contoh, syarikat-syarikat yang ingin menjalankan perniagaan dalam sektor minyak dan gas, jika mereka tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh PETROS, mereka tidak akan dibenarkan untuk beroperasi di Sarawak.
“Perkara ini berdasarkan dalam perlembagaan Sarawak maka sebab itulah kami menegaskan bahawa hak ini adalah milik kami dan kami akan menguatkuasakan peraturan ini dengan tegas," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menggulung perbahasan bagi kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak selama ini agak 'longgar' mengenai perkara sebegini terutamanya penggunaan pas sosial dan bekerja tanpa permit kerja namun kini diperketatkan di mana pekerja luar dilarang bekerja tanpa permit yang sah.
Jelasnya, ada yang datang menggunakan pas sosial, tetapi mereka sebenarnya bekerja lebih daripada tempoh yang dibenarkan dan kadang-kadang mereka hanya bekerja dua hingga tiga hari sebelum kembali ke negeri masing-masing tanpa memohon permit kerja.
“Namun, kami kini akan lebih tegas dalam perkara ini. Jika seseorang datang hanya untuk dua atau tiga hari, mereka tidak boleh menggunakan pas sosial. Jika mereka melakukannya, kami akan mengenakan denda,” katanya. -EDISI UKAS