KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memastikan ujian pembuktian konsep (POC) bagi projek Transit Aliran Autonomi (ART) berjalan lancar dan dilaksanakan di China dan Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan perkara ini susulan laporan daripada Jakarta Post baru-baru yang memaklumkan Ibu Kota Nusantara (IKN) merancang untuk mengembalikan unit prototaip ART ke China berikutan kegagalan yang dikesan semasa ujian percubaan dan POC, terutamanya berkaitan dengan sistem pemanduan autonomi.
Menurut beliau, projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) ini sebaliknya dijangka tidak menghadapi masalah yang sama kerana cabaran-cabaran ini telah ditangani melalui kerjasama rapat dengan Pengeluar Peralatan Asal (OEM) untuk memperhalusi reka bentuk dan teknologi ART bagi memenuhi keperluan reka bentuk dan prestasi bagi operasi ART di Sarawak.
"Kementerian kami dan pihak berkepentingan yang relevan juga telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh pada kedua-dua peringkat POC dan reka bentuk akhir di Yipin, China, bagi memastikan sistem ART disesuaikan dengan keadaan persekitaran dan operasi yang khusus di Kuching sebelum diluluskan untuk penghantaran.
“Sekarang, untuk versi akhir, pasukan kami juga pergi ke China, ke kilang pengeluar, untuk ujian percubaan. Saya sendiri juga pergi ke sana untuk memeriksanya. Jadi, pasukan kami berada di sana. Dalam versi akhir, mereka akan melalui senarai semak untuk memeriksa semua item.
“Apabila unit tiba di Kuching, kami akan menjalankan ujian percubaan lagi di sini. Jadi, akan ada beberapa ujian percubaan sebelum kami akhirnya memberi perakuan untuk digunakan. Kami akan melaksanakan langkah-langkah pengukuran semula dan pemeriksaan secara teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi penggulungan perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, pengeluar ART untuk projek KUTS adalah pakar dalam sistem ART itu sendiri, berbeza dengan pengeluar ART untuk Nusantara yang pakar dalam kereta api berkelajuan tinggi.
Jelasnya, kedua-dua ART tersebut berasal dari China namun Sarawak menggunakan pengeluaran dari Yipin dan syarikat OEM yang memang pakar dalam pembuatan sistem ART.
Manakala Nusantara pula katanya, menggunakan syarikat yang pakar dalam kereta api berkelajuan tinggi di mana sistem ART tersebut amat berbeza berbanding dengan projek ART di Sarawak.
“Perbezaannya adalah kami telah memberikan mereka spesifikasi kami. Jadi, apabila mereka datang ke sini, pada peringkat bukti konsep (POC), kami memeriksa semula untuk memastikan mereka memenuhi spesifikasi kami.
“Kami melakukan pemeriksaan. Apa-apa yang tidak memenuhi spesifikasi, kami akan memberitahu mereka supaya ia diubah dan dipinda. Itulah sebabnya kami mempunyai bukti konsep di sini,” dedahnya lagi.
Turut hadir dalam sidang media tersebut, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Henry Harry Jinep. -EDISI UKAS