KUCHING: Kerajaan Sarawak dalam peringkat akhir kajian terperinci bagi keperluan penyelarasan gaji dan elaun baharu Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK).
Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kali terakhir Kerajaan Sarawak membuat penyelarasan gaji bagi KMKK adalah pada tahun 2018 menyaksikan kenaikan sebanyak RM100.
”Oleh itu, Kerajaan Sarawak dalam peringkat akhir kajian terperinci bagi keperluan penyelarasan gaji dan elaun baharu KMKK selaras dengan peranan, tanggungjawab serta bebanan tugas yang semakin mencabar di samping keadaan ekonomi semasa," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Setakat ini ujarnya, terdapat sejumlah 671 orang Ketua Masyarakat dan 6,921 orang Ketua Kaum di seluruh Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu menambah, Kerajaan Sarawak juga akan mengkaji Skim Perkhidmatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang sedia ada bagi tujuan penambahbaikan termasuk keperluan setelah tamat perkhidmatan.
Selain itu katanya, Kerajaan setakat ini telah menerima sebanyak 915 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu KMKK dari semua bahagian di seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, pelbagai program pemerkasaan dan pemantapan pemimpin peringkat akar umbi sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui Pejabat Residen Bahagian dan Pejabat Daerah.
”Selain itu, mulai tahun 2025, Kerajaan akan memperkenalkan kursus induksi kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kompetensi dan kepimpinan KMKK,” ujarnya. -EDISI UKAS