Kejohanan Catur UNIMAS 2024 Himpun 148 Pemain Antarabangsa

Disiarkan pada 18 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Kejohanan 6th UNIMAS International Open Chess Championship 2024 berjaya menarik penyertaan 148 pemain dari pelbagai negara termasuk Brunei, Filipina, Indonesia, Rusia, dan Malaysia, menjadikannya platform untuk mengukuhkan perpaduan dan mengasah kecerdasan minda.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kejohanan ini bukan sekadar medan persaingan tetapi juga peluang pembelajaran dan perkongsian ilmu.

“Kejohanan ini membuka ruang kepada pemain bertaraf dunia seperti International Master (IM), FIDE Master (FM), dan Candidate Master (CM) untuk bersaing, berkongsi teknik, dan membina jaringan antarabangsa,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan di Dewan Serbaguna, Student Pavilion UNIMAS, pada Ahad.

Beliau turut memuji peranan catur sebagai sukan yang melatih strategi dan daya tumpuan tanpa mengira peringkat umur, sambil menegaskan bahawa UNIMAS kini dilihat sebagai hab pembangunan sukan berstatus antarabangsa.

“Catur bukan sekadar permainan; ia adalah seni yang mengasah kecerdasan, memupuk semangat persahabatan, dan membentuk ketahanan mental.

“UNIMAS membuktikan ia bukan hanya institusi pendidikan tinggi, tetapi juga platform mencungkil bakat baharu dan meningkatkan reputasi global,” tambah beliau.

Datuk Len berharap kejohanan ini dapat diteruskan secara konsisten untuk melahirkan lebih ramai pemain catur bertaraf dunia dan memperkukuhkan kedudukan UNIMAS sebagai pusat kecemerlangan sukan.

Kejohanan ini turut menjadi medan persahabatan dan kerjasama, membuktikan bahawa sukan catur semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi kategori terbuka, Johan 6th UNIMAS International Open Chess Championship 2024 dimenangi oleh International Master Shkapenko Pavel dari Rusia, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000, trofi, dan sijil.

Tempat kedua dimenangi oleh Amir Ghaazi Mohd Saprin dari Malaysia, manakala tempat ketiga dirangkul oleh FIDE Master Chan Kim Yew, juga dari Malaysia.

Dalam kategori IPT, Swinburne mengungguli tempat pertama dan kedua menerusi Brilliant Chiew Zhi Chong dan Chong Huan Yan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Polycarp Arthur Viral dari UNIMAS.

Bagi kategori bawah 12 tahun, Jonas Lee Sze Hao, Fam Yii Fui, dan Khairul Hayden Fahym Khairul Fahmy berjaya menduduki tiga tempat teratas. Sementara itu, bagi kategori bawah 18 tahun, Muhd Fadhlullah Mohd Ameenudeen, Jeni Samsen Ezra, dan Ivan Phua Ki Ern menguasai kedudukan pertama hingga ketiga.

Penghargaan khas turut diberikan kepada beberapa kategori lain, termasuk Veteran Terbaik Ahmad Morsin, Wanita Terbaik, Chong Qi En, Pelajar UNIMAS Terbaik, Azrul Aziman Azmin, Best Unrated, Safri Yoman, Best OKU, Suharman Muhd Adib Rusydan, dan Arena Grand Master, Muhammad Zulfaqar.-EDISI UKAS