Penduduk Resah Peningkatan Populasi Buaya Di Kabong

Disiarkan pada 16 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Populasi buaya yang semakin meningkat di sungai-sungai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong menimbulkan kerisauan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir memberitahu, populasi buaya yang tinggi ini menyebabkan penduduk yang kebanyakannya nelayan risau untuk turun mencari rezeki.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan pemberian lesen memburu buaya kepada penduduk di kawasan berkenaan terutamanya kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Nelayan yang menjadikan sungai sebagai punca rezeki menjadi takut dengan kehadiran buaya itu, sekaligus ia menjejaskan pendapatan mereka.

“Justeru itu, saya memohon agar penduduk terutamanya kepada JKKK diberikan lesen untuk memburu atau menangkap buaya-buaya tersebut,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 sempena Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu peningkatan populasi ini bakal meningkatkan risiko berlaku konflik antara manusia dengan reptilia berkenaan.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak mengumumkan bahawa negeri ini sedang merangka pelan pengurusan baharu yang lebih komprehensif bagi menangani konflik manusia dengan buaya.

Melalui usaha ini, pegawai dan kakitangan yang terlibat telah diberi pendedahan bagi meningkatkan pengetahuan dan kebolehan melalui latihan serta penglibatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam memperkasakan pengurusan buaya-buaya di Sarawak. - EDISI UKAS