KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak masih menguatkuasa larangan terhadap pengeksportan dan penanaman Guarana, di bawah Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 (Peraturan 7).
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, tumbuhan herba yang disalah guna dalam produk minuman dan dipasarkan sebagai kopi oleh sesetengah masyarakat itu berasal dari negara endemik bagi penyakit South American Leaf Blight (SALB) iaitu Venezuela dan utara Brazil, yang menyebabkan kemusnahan pada tanaman getah di beberapa negara.
Sehubungan itu menurutnya, langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kepentingan industri getah Malaysia yang bernilai lebih RM18.0 bilion setahun.
"Syarikat yang terlibat dalam pengimportan Guarana ke Malaysia masih tidak dapat mengesahkan pematuhannya terhadap prosedur larangan yang telah ditetapkan di bawah undang-undang No.13, 123/15, 20 Mei 2015 (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge (ABS)).
"Tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal yang terlarang boleh disita, ditahan dan dihapuskan.
"Mana-mana individu yang membawa masuk komoditi terlarang ini boleh dikenakan saman tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 19A Akta 167,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Terdahulu, Dato Paulus bertanya adakah larangan terhadap penanaman kopi Guarana masih berkuatkuasa dan apakah tindakan kerajaan terhadap mereka yang secara terus menerus mempromosikan penanaman tumbuhan itu.
Tambah Datuk Martin, penanaman Guarana juga berisiko membawa penyakit baharu lain seperti 'Colletotrichum Guaranicola' yang bukan sahaja menyerang spesies Guarana, tetapi juga tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik, pisang, mangga dan cili.
"Buat masa ini, maklumat mengenai penyakit Colletotrichum Guaranicola adalah terhad, maka menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan ini berlaku di Malaysia,"jelas ADUN Kedup itu lagi.
Guarana atau nama saintifiknya 'Paullinia Cupana' adalah daripada keluarga 'Sapindaceae' yang mengandungi kafein, manakala tanaman kopi pula adalah dari keluarga 'Rubiaceae'.
Secara umumnya, masyarakat beranggapan bahawa Guarana adalah kopi dari keluarga yang sama, namun ia jelas sekali merupakan dua tanaman yang berbeza.
Di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, beberapa pengimportan tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal dilarang dibawa masuk ke Sarawak selain untuk tujuan penyelidikan.
Larangan tersebut termasuk tanih, tanaman dari keluarga Hevea, tumbuhan dari kawasan American Tropics atau mana-mana negara yang mempunyai penyakit SALB, tumbuhan dari kawasan Koko Afrika, perosak dan penyakit tumbuhan seperti di dalam Jadual 4 Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan tumbuhan-tumbuhan berjadual seperti di dalam Jadual 3 Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.-Edisi UKAS