Pengambilan Pelajar Ke YSISS Berteraskan Keputusan Peperiksaan, Tiada Kaitan Dengan Latar Belakang Kaum

Disiarkan pada 13 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pengambilan pelajar untuk memasuki Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) adalah berdasarkan merit dan tiada kaitan dengan latar belakang kaum.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapa’ee menegaskan pengambilan pelajar adalah berteraskan keputusan peperiksaan dengan mengambil kira status sosio-ekonomi pelajar.

“Apabila pelajar ini membuat permohonan untuk menduduki peperiksaan, mereka haruslah mencapai Band 5, minimum, semasa di Tahun 6 dan mereka perlu membuat permohonan melalui guru besar untuk mendapatkan rekomendasi.

“Pada September nanti, semua nama pelajar yang membuat permohonan ini akan menduduki peperiksaan yang dibuat oleh Yayasan Sarawak dengan Universiti Teknologi Swinburne,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media untuk mengulas soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Bagi kriteria kedua pemilihan pula, Datuk Dr Annuar memberitahu pelajar yang lulus akan ditapis sekali lagi berdasarkan status sosio-ekonomi mereka, bukannya berdasarkan latar belakang kaum.

"Tapisan ini berdasarkan latar belakang sosio-ekonomi mereka iaitu B40, M40 atau T20.

“Jadi, T20 teratas akan direkrut, M40 teratas akan direkrut, B40 teratas akan direkrut, dan langsung tiada kaitan dengan latar belakang kaum anda.

“Itu yang saya ingin tekankan kerana pengambilan ini benar-benar berdasarkan sosio-ekonomi mereka, ditambah dengan keputusan peperiksaan,” tegasnya.

Buat masa ini, terdapat dua buah YSISS iaitu di Petra Jaya dan Batu 12 telah menerima kemasukan pelajar yang terdiri daripada 36.2 peratus pelajar Melayu, 19.1 peratus pelajar Iban, 18.7 peratus pelajar Cina, 7.9 peratus pelajar Melanau, 3.7 peratus pelajar Orang Ulu dan 2.2 peratus lain-lain.

Berdasarkan peratusan ini, Datuk Dr Annuar menjelaskan bahawa ianya dipengaruhi oleh populasi penduduk di kawasan YSISS tersebut ditubuhkan.

"Jadi, sebab itulah pecahan seperti itu dan nanti bila YSISS di Betong, Sibu, Miri dan Bintulu dibuka, mungkin ia akan berubah sedikit.

“Tapi, itu tidak penting kerana perkara yang paling penting adalah semua pelajar ini diterima berdasarkan dua perkara (peperiksaan dan status sosio-ekonomi),” ulasnya lagi. -EDISI UKAS