Kerajaan Sarawak Tingkat Kesejahteraan Penjawat Awam

Disiarkan pada 13 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah progresif dalam meningkatkan kesejahteraan penjawat awam apabila bersetuju melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menetapkan gaji minimum baharu menerusi Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 15 Tahun 2024.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 & Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, gaji pokok minimum bagi Gred 1 kini ditetapkan pada RM1,500 sebulan, dengan tambahan elaun sebanyak RM685, menjadikan jumlah pendapatan kasar RM2,185 sebulan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk menyesuaikan saraan perkhidmatan awam di Sarawak dengan dasar gaji minimum nasional, sambil mempertimbangkan keperluan khusus pekerja di negeri ini.

"Pelaksanaan ini tidak hanya memberikan manfaat kepada pekerja kerajaan negeri, tetapi juga memberi kesan kepada majikan dalam sektor swasta di Sarawak yang diwajibkan menawarkan gaji minimum RM1,700, sesuai dengan garis panduan yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau juga menjelaskan bahawa gaji minimum RM1,700 akan dilaksanakan secara menyeluruh pada 1 Ogos 2025 untuk semua majikan, termasuk yang menggaji kurang daripada lima orang pekerja, sekaligus memastikan kebajikan pekerja swasta di seluruh Malaysia terjamin.

“Perubahan ini menandakan satu usaha kolaboratif antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam memastikan saraan yang adil dan selari dengan kos sara hidup semasa,” tambah beliau.-EDISI UKAS