LIMBANG: Program MyLesen B2 (MADANI) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan tampil sebagai langkah proaktif dalam membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal kelas B2 tanpa perlu menanggung kos yang tinggi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menyatakan bahawa, inisiatif ini diharap dapat meningkatkan mobiliti dan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dengan membuka peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pengangkutan.
“Program ini bertujuan mendekati rakyat di peringkat akar umbi, khususnya golongan B40, bagi memastikan mereka dapat memperoleh lesen motosikal yang sah.
“Dengan lesen ini, ruang dan peluang untuk menambah pendapatan isi rumah menjadi lebih luas, sekali gus memperbaiki kesejahteraan keluarga,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Program MyLesen B2 (MADANI) & Randau Digitalisasi JPJ Bahagian Limbang 2024, di Dewan Seri Perdana, SMK Seri Patiambun Limbang pada Ahad.
Sehubungan itu, Datuk Hasbi turut mengucapkan tahniah kepada 26 peserta daripada Parlimen Limbang yang berjaya memperoleh lesen kelas B2 melalui program tersebut.
Menurutnya, program MyLesen B2 yang bermula awal tahun ini telah melibatkan 2,173 peserta dari seluruh Sarawak yang dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan, dan jumlah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan rakyat tanpa mengira latar belakang ekonomi.
Dalam ucapannya, Datuk Hasbi menekankan isu keselamatan jalan raya di Malaysia yang kian membimbangkan, dengan peningkatan jumlah kemalangan maut setiap tahun.
Menurut statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), negara mencatat sekitar 6,000 kematian setahun akibat kemalangan jalan raya, bersamaan dengan 19 hingga 20 kematian setiap hari.
“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan peningkatan 9.46% dalam kemalangan maut pada tahun 2023, dengan 4,489 kes melibatkan penunggang motosikal.
“Di Sarawak, sebanyak 378 kes kemalangan maut direkodkan, termasuk 198 kes melibatkan penunggang motosikal,” ujarnya lagi.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak, Norizan Jili, wakil Residen dan Pegawai Daerah Limbang, Mohd Firhan Goh Abdullah serta tetamu lain.-EDISI UKAS