KUCHING: Dua graduan cemerlang dari Sarawak telah dianugerahkan Anugerah Pelajaran Di-Raja di atas kecemerlangan akademik dan dedikasi mereka semasa Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-28, pada Isnin.
Majlis Konvokesyen itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Salah seorang penerima, Annie Lau Siew Ming dari Sibu menamatkan pengajian beliau dengan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan dengan CGPA cemerlang 3.93.
Annie yang berkesempatan berkongsi kunci kejayaannya berkata, selain kerja keras, beliau turut menekankan kepentingan pengurusan masa.
“Pertama adalah kerja keras, tiada siapa yang boleh berjaya tanpa usaha.
"Kedua adalah pengurusan masa.
"Mengimbangi pelajaran dan aktiviti kokurikulum memerlukan saya menguruskan masa dengan baik,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui oleh pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS).
Bercakap mengenai masa depan, Annie merancang untuk meneruskan kejayaannya dengan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) untuk mendalami kepakarannya dalam bidang perakaunan.
Sementara itu, Dayang Nurina Nazihah, graduan dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, telah menamatkan pengajian dalam bidang kaunseling dengan CGPA 3.85.
“Pendekatan saya adalah mudah, saya hanya melakukannya sehabis baik.
"Saya bersemangat untuk meneroka potensi diri dan mendorong diri melepasi zon selesa saya," ujarnya.
Baru-baru ini, beliau telah hadir untuk temu duga mendapatkan lesen kaunselor berdaftar dan berharap untuk bermula sebagai kaunselor bebas sambil meneroka peluang kerjaya lain.
Menurutnya, pada Januari 2025, beliau akan memulakan program Sarjana di UNIMAS.
Turut hadir Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS