Kerajaan Sarawak Peruntuk RM15 Juta Untuk Program SEEP

Disiarkan pada 05 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



PUSA: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM15 juta menerusi Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP) untuk menyediakan program tuisyen percuma kepada pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima.

Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program ini menyediakan tuisyen bagi matapelajaran teras dan aliran Sains melalui kaedah bersemuka dan maya.

"Matlamat program SEEP adalah untuk membantu pelajar kita meningkatkan pencapaian akademik mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian SEEP di SMK Beladin di sini, pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor.

Dato Sri Roland berkata, penubuhan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak juga menjadi inisiatif untuk menyediakan pendidikan cemerlang di negeri ini.

Beliau dengan itu menyeru ibu bapa untuk memberikan kerjasama dalam memupuk budaya positif dalam pembelajaran dan pencapaian pelajar.-EDISI UKAS-