GIATMARA Perkasa TVET, Tingkat Kebolehpasaran Graduan

Disiarkan pada 29 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: GIATMARA kini mengutamakan kerjasama industri dengan menerapkan konsep ‘Teaching Factory’ dalam memperkasakan bidang kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) yang selari dengan Dasar TVET Negara 2030.

Pengarah Kanan Pelaburan MARA merangkap Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Yahaya Sani berkata, ke arah itu, MARA turut menyediakan laluan pendidikan lanjutan kepada lepasan GIATMARA yang berpotensi di institusi milik MARA.

Ujarnya, langkah tersebut diyakini dapat membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan GIATMARA yang mencapai 98.9 peritus pada tahun 2023.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Graduasi GIATMARA Malaysia kali ke-37 di sini, pada Selasa.

Yahaya juga berkata, pelatih GIATMARA tidak hanya dilengkapi dengan kemahiran teknikal malah turut mengutamakan nilai kerohanian dan moral melalui modul Pembangunan Jiwa Insan (PUJi).

Jelas beliau, ia bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten tetapi juga berakhlak mulia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, seramai 496 graduan diraikan pada majlis tersebut menerima sijil.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkesempatan menemuramah beberapa graduan GIATMARA termasuk Mohamad Zulkifly Majidi yang berusia 49 taun.

"Pada pendapat saya GIATMARA salah satu institusi yang menyediakan pusat kemahiran yang mampu melahirkan pelajar berkemahiran tinggi dan dapat memberi sumbangan kepada industri," ujarnya.

Selain itu, anak kepada Mohamad Zulkifly, Mohamad Danish Aiman yang turut menerima sijil pada majlis yang sama berkata, beliau mempelajari kursus penyaman udara tahap 2 dan berhasrat untuk memiliki syarikat sendiri setelah beliau selesai mempelajari kursus penyaman udara tahap 3 beliau nanti.

"Saya berharap dapat menubuhkan syarikat sendiri untuk membahagiakan kedua ibu bapa saya," katanya.

Dalam pada itu, Rita Jelian yang menerima sijil kecemerlangan dalam Kluster Rekagaya Rambut dan Kosmetologi berkata, beliau memiliki minat dari dahulu dalam bidang kecantikan dan status beliau sebagai seorang suri rumah bukan penghalang untuk terus belajar.

"Saya memang berminat dalam bidang kecantikan dan GIATMARA menawarkan kursus yang bidangnya melibatkan kecantikan seperti mempelajari bidang penjagaan kuku , muka dan sebagainya," ujarnya.

Turut hadir pada majlis graduasi tersebut Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia, Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim.-EDISI UKAS