KUCHING: Minat yang mendalam dalam sukan muaythai mendorong seramai 10 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit bertolak ke Kuching untuk mengambil bahagian dalam persembahan Seni Waikru/Maemuay yang diadakan bersempena Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2024 baru-baru ini.
Program anjuran bersama Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) di Panggung Udara Kuching itu bertujuan memeriahkan lagi penganjuran kejohanan edisi ke-8 itu selain mempromosikan Seni Waikru/Mae Muay kepada orang ramai lebih-lebih golongan belia.
Pelajar tersebut adalah yang terpilih dari seramai 42 pelajar yang berjaya melepasi saringan diadakan bermula dari 1 hingga 5 September lepas di sekolah tersebut.
Latihan telah dikendalikan oleh jurulatih Suraini Omar dan dipantau oleh PMNS.
Di Kuching, mereka terlebih dahulu membuat persembahan di Go Down Amphitheater Waterfront, Kuching sebelum mengambil bahagian dalam persembahan di Panggung Udara Kuching.
Menurut Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, pihak persatuan sangat menyokong dan sedia membantu mana-mana sekolah terutama di kawasan luar bandar yang berhasrat untuk membangunkan sukan muaythai.
Katanya, ia selaras dengan aspirasi PMNS untuk melihat sukan ini popular di seluruh negeri dan bukan hanya di kawasan luar bandar.
Jelas Jumaat, melalui kerjasama strategik antara persatuan, SSC dan sekolah diharap dapat melahirkan lebih ramai pelapis baru untuk menyambung legasi kecemerlangan Sarawak dalam sukan muaythai.
“Kita akan meneruskan program pembangunan Seni Waikru/Maemuay ini di kawasan luar bandar kerana belia kita mempunyai potensi dalam sukan ini.
“Ini dibuktikan apabila kita berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara waikru pada SUKMA XXI lepas.
“Justeru, saya menyeru mana-mana sekolah yang berminat untuk membangunkan sukan ini agar bekerjsama dengan kita dan SSC,” katanya.
Jumaat turut mengucapkan terima kasih kepada SMK Kapit kerana mengambil inisiatif untuk mengembangkan sukan itu sambil berharap apa yang dilakukan oleh sekolah tersebut menjadi contoh dan ikutan sekolah-sekolah lain di kawasan pedalaman. - EDISI UKAS