Pertandingan PUSAKA Golf Edisi Ke-30: Persiapan Semakin Rancak

Disiarkan pada 17 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Seramai 256 peserta akan menyertai Pertandingan PUSAKA Golf Edisi Ke-30 yang dijadual berlangsung pada 26 Oktober ini di Kelab Golf Sarawak (KGS).

Sempena pertandingan tahunan itu, hari ini telah berlangsung Majlis Penyerahan Sumbangan Hadiah 'Hole-In-One' dan 'Challenge Trophy Golf' PUSAKA di Dewan Seminar PUSAKA sebagai persiapan menjelang penganjungannya.

Pelbagai kategori dipertandingkan antaranya jemputan VIP, jemputan khas, kakitangan PUSAKA, serta pemain dari kategori Lelaki dan Wanita (Terbuka).

Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah, berkata edisi kali ini dijangka menjadi acara berprestij bakal meningkatkan semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan pemain industri perkayuan serta masyarakat umum.

Mengulas lanjut, matlamat utama acara tahunan ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi-agensi, anak-anak syarikat, dan pemain- pemain industri perkayuan di Sarawak, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dalam sektor ini melalui sukan golf.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Hadiah Hole-In-One dan Challenge Trophy Golf PUSAKA 2024 bertempat di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, pada Khamis.

Dalam pada itu, para peserta juga turut berpeluang merebut hadiah lumayan untuk kategori 'Hole-In-One', termasuk hadiah percutian, set Home Theater, Perodua Bezza 1.0, Perodua Myvi 1.5, dan jam tangan Rolex, menjadikan PUSAKA Golf 2024 salah satu acara yang paling dinanti-nantikan pada tahun ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengurus Besar Saratim Insurance Agency Services Sdn Bhd Dato Patrick Liew, Pengurus Lonpac Insurance Bhd Wilayah Sarawak Lonpac Adjustment Sdn Bhd Wong Shon Kwang, Generali Insurance Malaysia Berhad Patrina Chin Abdullah, Pengurus Besar Leong Adjustment Sdn Bhd Tommy Li dan Senior Manager MSM International Adjuster (M) Sdn Bhd Patrick Ghim. -EDISI UKAS