SDRP, Program Residensi Digital Sarawak Dilancarkan

Disiarkan pada 16 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah melancarkan Sarawak Technology and Innovation Sandbox dan Program Residensi Digital Sarawak (SDRP) bagi mempercepatkan agenda digital negeri ini.

Perkara tersebut diumumkan beliau ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024 (IDECS 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Menurutnya, SDRP adalah inisiatif berani yang bertujuan menarik profesional, pekerja jarak jauh, usahawan asing, dan pelabur ke Sarawak.

Dengan terma yang fleksibel ujarnya, kerajaan memposisikan Sarawak sebagai pusat digital yang inklusif yang menyambut bakat global.

"Inisiatif pertama di bawah program ini, De Rantau Sarawak, akan dibuka untuk permohonan awal tahun depan dengan kerjasama Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) yang akan mengukuhkan status Malaysia sebagai destinasi utama untuk nomad digital di Asia Tenggara," katanya.

Selain itu, Sarawak Technology and Innovation (STI) Sandbox, yang dibangunkan dengan kerjasama National Technology and Innovation Sandbox, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Startup Borneo dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bertujuan memudahkan peralihan Sarawak kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

"STI Sandbox dijangka memacu inovasi dalam agritech, bandar pintar, dan industri budaya, memposisikan Sarawak sebagai pusat keselamatan makanan dan menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, selaras dengan komitmen Sarawak untuk menyeimbangkan kemajuan dengan inovasi lestari," ujarnya.

Melalui inisiatif ini katanya, ia akan mengukuhkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekonomi digital yang dinamik, inovatif, dan terhubung secara global.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Liwan Lagang, Pengerusi Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS) Tan Sri Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam, Pengerusi SDEC Datuk Amar Tan Sri (Dr) Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS