75 Pemain Cilik Daerah Daro Beraksi Untuk Pemilihan Ke Piala Perak Yayasan Sarawak

Disiarkan pada 15 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS




PULAU BRUIT: Seramai 75 pemain cilik mewakili setiap zon di daerah Daro telah beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Kategori Sekolah Rendah (bawah 12 tahun) yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Betanak, di sini pada Isnin.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, kejohanan melibatkan lima pasukan dari Zon Tanjung Sirik, Zon Tanjung Jati, Zon Tanjung Alan, Zon Tanjung Manis dan Zon Jol itu bertujuan untuk memilih pemain yang layak mewakili daerah tersebut dalam kejohanan peringkat bahagian iaitu Piala Perak Yayasan Sarawak yang dijadual berlangsung di Dalat pada 21 Oktober depan.

Sehubungan itu, beliau selaku Penaung Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Zon Sarawak berharap agar pemain-pemain yang terpilih dapat membuktikan kemampuan mereka di peringkat yang lebih tinggi dalam sukan bola sepak.

"Saya berharap dengan sokongan dan kerjasama ibu bapa serta guru-guru yang berperanan sebagai jurulatih, kita dapat melahirkan pemain yang mengikuti jejak tujuh kanak-kanak Sarawak yang telah menandatangani kontrak dengan Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor,"katanya.

Datuk Abdullah berkata demikian ketika berucap menyempurnakan kejohanan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa NFDP turut mempunyai 10 pusat akademi, yang mana lima pusat adalah khusus untuk belia berumur 12 tahun ke bawah, sementara lima pusat lagi khusus untuk 17 tahun ke atas.

"Sehingga hari ini, NFDP Zon Sarawak telah berjaya melahirkan 10 pemain mewakili negara dan 16 pemain dipilih ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari,"ujarnya lagi.

Dalam majlis ringkas itu, Datuk Abdullah juga telah menyampaikan sumbangan dana kepada wakil pengelola kejohanan berkenaan untuk kegunaan perbelanjaan pasukan yang terpilih kelak.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Daro Rudy Ladi, guru-guru pengiring pasukan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang berdekatan.-Edisi UKAS