MUKAH: Sekitar 6,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Pesta Tanglung Peringkat Bahagian Mukah 2024 di Dataran Pehin Setia Raja.
Timbalan Menteri Ekonomi Dato' Hanifah Hajar Taib berkata, sambutan kali ini merupakan tahun ketiga penganjurannya.
“Pada tahun pertama, sebanyak 18 kontinjen yang menyertainya, diikuti pada tahun lalu dengan 23 kontinjen dan pada kali ini 30 kontinjen yang menyertainya.
“Ini menunjukkan sokongan padu daripada semua pihak dan saya berharap sambutan ini menjadi lebih bermakna kepada semua,” katanya ketika berucap merasmikan pesta tersebut pada Sabtu.
Mengulas lanjut katanya, Pesta Tanglung ini memainkan peranan penting sebagai platform untuk mengeratkan hubungan perpaduan tanpa mengira latar belakang, agama atau kaum, budaya dan tradisi.
Dato' Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah percaya bahawa penganjuran seperti ini membantu memupuk kesefahaman, keunikan dan persamaan antara budaya.
Ujarnya, ini adalah bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat terutamanya di Bahagian Mukah dan Sarawak amnya.
Justeru, beliau berharap pesta ini menjadi simbolik perpaduan masyarakat berbilang kaum dan budaya di Mukah.
Sementara itu, Penghulu Henry Lee Liong Inn berkata, sambutan Pesta Tanglung ini bukan sahaja menyatukan masyarakat Cina, malah pelbagai kaum yang ada di kawasan ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan pesta ini berjalan dengan lancar.
Dalam pada itu, turut diadakan Pertandingan Tanglung Gergasi Kreatif dan Perarakan Tanglung yang terbahagi kepada tiga kategori.
Bagi kategori Jabatan Kerajaan, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Jabatan Pertanian Bahagian Mukah tempat kedua dan Hospital Mukah tempat ketiga.
Manakala bagi kategori sekolah, Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam, IPT Swasta dan Pusat Kemahiran dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Boon, tempat kedua disandang oleh Politeknik Mukah dan tempat ketiga ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah.
Bagi kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan, Kelab dan Pertubuhan dimenangi oleh JKKK Kampung Tellian Tengah, tempat kedua ialah JKKK Sungai Ragei dan tempat ketiga JKKK Penakub Bazaar.
Turut diadakan Pertandingan Kuih Bulan yang menyaksikan Tan Siok Kiang dinobatkan sebagai johan, tempat kedua ialah Persatuan Foo Chow Mukah dan tempat ketiga ialah Hanidah Baijuri dan Lo Ning.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip. -EDISI UKAS