SABATI Dan PETROS Pupuk Minat Pelajar Terhadap STEM

Disiarkan pada 07 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


SELANGAU: Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) bersama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memupuk minat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Balingian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dengan menganjurkan Karnival STEM dan Program Seminar Kecemerlangan SPM 2024.

Karnival ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Pendidikan Luar Bandar SABATI-PETROS (PPLBS-P) yang bertujuan untuk menarik minat, bakat dan kemahiran pelajar serta menyokong matlamat Sarawak Maju menuju ke arah negeri berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Menurut isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir. Christopher Gira Sambang, Anita Anthony Ijan dalam ucapannya mewakili SABATI, pelaksanaan program ini adalah atas panduan dan nasihat Presiden SABATI, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.

Program ini juga melibatkan 22 kawasan DUN, dipilih berdasarkan lokasinya yang terdiri daripada 200 buah sekolah iaitu 130 sekolah rendah dan 70 sekolah menengah serta melibatkan seramai 5839 orang pelajar di seluruh kawasan Sarawak.

Majlis penangguhan telah disempurnakan oleh Ir. Christopher Gira bertempat di Dewan SMK Ulu Balingian pada Ahad.

Turut hadir wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau Nicholas Andrew Ling Neng Ching, Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan, Pengetua SMK Ulu Balingian Echi Tom, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Balingian merangkap Focal Person Daerah Selangau Alo Meliau, Pengerusi Alumni SMK Ulu Balingian Jamba Sumping, Pemancha Selangau Pemancha Mathew Belawan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Ulu Balingian Peter Limbau Empir, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), guru-guru, ibu bapa serta pelajar-pelajar SMK Ulu Balingian. -EDISI UKAS