SIMUNJAN: Penganjuran Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) diyakini mampu meningkatkan kesedaran remaja dan pelajar agar cakna akan kesan negatif terhadap isu berkaitan pergaulan bebas dan seks.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, program anjuran Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di SMK Simunjan No. 1 disifatkan sangat penting dan tepat pada masanya.
"Para pelajar kita bukan sahaja perlu berilmu tetapi harus mempunyai sikap serta keterampilan diri yang baik dan menghindari diri daripada gejala sosial yang negatif.
"Dalam usaha menangani isu kehamilan remaja khasnya, Kerajaan Sarawak telah menetapkan KPI penurunan bilangan kes remaja hamil sebanyak 10% setiap tahun berbanding dengan bilangan kes pada tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sempena Program KAPS Peringkat Bahagian Samarahan di sini pada Sabtu.
Menurut Awla, untuk rekod MPS Sarawak di KPWK telah berkolaborasi dengan rakan strategik One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) di Peringkat Negeri dan Bahagian untuk mengendalikan sebanyak 73 siri program KAPS di sekolah-sekolah menengah kebangsaan di seluruh Sarawak sejak lapan tahun lalu.
"Sejak itu, terdapat penurunan ketara dalam bilangan kes remaja hamil bersekolah iaitu daripada 142 kes pada 2016 kepada 63 kes pada 2023.
"Trend penurunan ini memberi semangat kepada Kerajaan Sarawak melalui MPS Sarawak dan rakan-rakan strategiknya dalam OSTPC untuk terus mengendalikan program KAPS ini di sekolah-sekolah menengah di seluruh Sarawak,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, program ini telah melibatkan lebih 350 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah yang disajikan dengan 11 sesi ceramah.
Hadir sama, Ketua Unit Sosial, Pejabat Residen Bahagian Samarahan Hasanal Abdul Wahid, Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin, Pengetua SMK Simunjan No.1 Dr. Nasir Len dan Inspektor Maxwel Richard Churt dari Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan. -EDISI UKAS