KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kini giat melakukan persiapan bagi Perhimpunan Agung ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun 2025.
Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu, mesyuarat terkini telah memberi tumpuan kepada perancangan terperinci di peringkat cawangan bagi memastikan perhimpunan tersebut berjalan lancar.
Menurut beliau, daripada 82 cawangan Parti PBB di seluruh Sarawak, setakat ini hanya satu cawangan yang telah menyelesaikan mesyuarat agung mereka.
“Baki 81 cawangan lagi dijangka akan menyempurnakan mesyuarat masing-masing menjelang Disember, mengikut jadual yang telah ditetapkan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.
Sidang media itu diadakan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB yang dipengerusikan Presiden Parti PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Alexander menambah, untuk memastikan persiapan yang lebih tersusun dan efisien, Parti PBB telah membahagikan cawangan-cawangan tersebut kepada empat zon utama.
Jelasnya, Zon selatan akan dipengerusikan oleh Naib Presiden Kanan Parti PBB Dato Sri Fadillah Yusof, Zon Betong (Timbalan Presiden Parti PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas), Zon tengah oleh beliau sendiri (Dato Sri Alexander), dan Zon utara dipimpin oleh Timbalan Presiden Parti PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Pembahagian ini bertujuan untuk memastikan setiap zon diurus dengan lebih sistematik dan teratur,” jelasnya.
Setiap zon, katanya lagi akan dirasmikan oleh Datuk Patinggi Abang Zohari pada Disember sebagai persediaan menjelang perhimpunan agung.l.-EDISI UKAS