50 Pasukan Sertai Amazing Race MAKSAK Wanita Sarawak 2024

Disiarkan pada 29 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 200 peserta daripada 50 pasukan telah menyertai pertandingan Amazing Race Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Sarawak 2024 bertemakan 'Kampungku' yang diadakan di Kelab Golf Sarawak (KGS), di sini pada Sabtu.

Acara tahunan anjuran Exco MAKSAK Wanita Sarawak itu bermula seawal jam 7.00 pagi dengan sesi senamrobik, sebaik sahaja selesai pendaftaran peserta.

Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Penaung MAKSAK Wanita Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut menyertai sesi tersebut, sekali gus menyempurnakan simbolik pelepasan perlumbaan pada jam 8.00 pagi.

Turut serta ialah isteri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang, Pengerusi Biro Pendidikan MAKSAK Wanita Datin Fauziah Mardiana Sepawi, Pengerusi Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Datin Sharifah Aminah Wan Mohamad, Pengerusi Biro Sosial Tres Andrew Taki, Pengerusi Biro Sukan MAKSAK Wanita Haluyah Awie, Bendahari MAKSAK Wanita Gladys Lim dan Setiausaha Kehormat Exco Wanita Sarawak Norhayati Mornie.

Seperti penganjuran sebelumnya, setiap pasukan terdiri daripada empat peserta wanita yang dikehendaki menggunakan sebuah kenderaan untuk mencari petunjuk di sepanjang perjalanan yang ditetapkan, berpandukan arahan yang diberi dalam tempoh empat jam iaitu sehingga 11.00 pagi.

Pada edisi kali ini, hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM15,000 diberikan kepada 18 pemenang, termasuk RM2,000 kepada juara.

Di samping itu, MAKSAK Wanita Sarawak turut menerima bantuan penajaan daripada agensi penaja termasuk Petroleum Sarawak Bhd (Petros), Affin Bank, Yayasan Sarawak, Bintulu Port Holding, Sarawak Energy Berhad, Pusaka Capital, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Farley Supermarket. -Edisi UKAS