MIRI: Persatuan Foochow boleh memainkan peranan untuk memperkukuhkan perpaduan komuniti serta turut aktif dalam menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan sosial.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata selama 50 tahun lalu, Persatuan Foochow Batu Niah Miri telah memberikan sumbangan besar dalam memelihara hak-hak warga Foochow dan mempromosikan budayanya.
Justeru, beliau berharap agar persatuan tersebut terus berkembang maju, pesat dan ahlinya sentiasa diberkati dengan kesihatan yang baik, sejahtera serta kebahagiaan.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis makan malam Sambutan Jubli Emas 50 Tahun di Hotel Mega, Miri pada Khamis.
Majlis makan malam sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun tersebut menunjukkan simbolik kepada pencapaian persatuan selama lima dekad.
Menurut Dato Sri Lee, majlis tersebut juga merupakan salah satu peluang bagi ahli-ahli dan komuniti Foochow Batu Niah mengekalkan tradisi serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Katanya, majlis makan malam itu dianjurkan bagi menghargai masyarakat Foochow di kawasan Batu Niah.
Sebelum mengakhiri ucapan, Dato Sri Lee menzahirkan ucapan tahniah kepada Persatuan Foochow Batu Niah, Miri atas ulang tahun penubuhan yang ke-50. - EDISI UKAS