TANJUNG MANIS: Pelaksanaan projek pembangunan yang komprehensif oleh Kerajaan Sarawak menjadi faktor utama dalam menarik kehadiran pelancong ke Pantai Belawai.
Sejarah pembangunan pantai ini bermula seawal tahun 1990-an, dengan pelbagai usaha yang dijalankan untuk meningkatkan daya tarikannya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Pantai Belawai sejak beliau memegang jawatan sebagai Menteri Perumahan Sarawak.
Beliau kerap hadir dalam setiap edisi Pesta Belawai dan memberi gelaran 'Belawai Beach' kepada Pantai Belawai, menyamakannya dengan Hawaii.
“Kemuncak kepada pembangunan ini adalah kelulusan projek berjumlah RM161 juta untuk pembangunan menyeluruh Pantai Belawai, yang dijangka siap dalam tiga hingga empat tahun akan datang,” jelas beliau.
Datuk Len Talif turut berkongsi kejayaan beberapa projek sampingan seperti penanaman tukun tiruan pada tahun 2018 yang telah memberi manfaat besar kepada nelayan tempatan.
“Kini, spesis ikan yang dahulunya jarang ditemui, seperti ikan terubok, kembali menghuni kawasan tersebut.
“Selain itu, Premier Sarawak juga meluluskan pembangunan sambungan Lapangan Terbang Tanjung Manis, pembinaan hotel bertaraf tiga bintang, serta sebuah padang golf yang akan menjadikan Tanjung Manis destinasi tarikan utama bagi pengunjung dari dalam dan luar negeri,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pesta Belawai 2024 yang berlangsung di Tapak Pesta Belawai pada Ahad.
Datuk Len Talif juga menyatakan bahawa dengan siapnya Jambatan Batang Rajang di Bahagian Sarikei pada Mac tahun depan, perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis akan hanya mengambil masa kira-kira 40 minit.
“Oleh itu, Pesta Belawai 2024 yang bermula pada 20 September 2024 akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang mampu menarik kehadiran pengunjung, bukan sahaja dari Tanjung Manis tetapi juga dari kawasan luar,” katanya.
Datuk Len turut menggesa semua pihak agar terus memberi sokongan dan kerjasama dalam menjayakan projek-projek pembangunan yang sedang dan akan dijalankan kerana manfaatnya besar kepada rakyat.
Pesta Belawai diadakan sebagai satu inisiatif untuk mempromosikan Pantai Belawai sebagai destinasi pelancongan di samping membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka sekali gus menjana ekonomi setempat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab, Residen Bahagian Mukah Kueh Ley Poh serta Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah bersama tetamu lain.-EDISI UKAS