Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78 Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Pada 10 Hingga 13 Oktober Depan

Disiarkan pada 21 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak akan mengadakan sambutan penuh meriah bagi meraikan perayaan hari lahir Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ke-78, di sini, bermula 10 hingga 13 Oktober depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan kali ini sangat istimewa kerana ia merupakan perayaan pertama bagi memberi penghormatan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) yang baharu.

Menurutnya, terdapat tujuh acara melibatkan pelbagai aktiviti telah disusun atur oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara (UPPAN) Sarawak selaku penganjur utama.

"Sambutan pada 10 Oktober dimulakan dengan Majlis Kesyukuran yang akan berlangsung di Masjid Jamek, jam 6.00 petang.

"Keesokkan harinya, 11 Oktober, Khutbah Khas akan diadakan sebelum solat Jumaat di semua masjid seluruh Sarawak yang diteraju oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

"Manakala di sebelah malamnya, acara diteruskan dengan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain yang akan diteraju oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Hotel Riverside Majestic Kuching, dengan sasaran seramai 750 tetamu akan hadir,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana bagi sambutan tersebut, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, acara kemuncak adalah Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa pada 12 Oktober, seawal jam 8.00 pagi di Padang Merdeka Kuching, disusuli Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak jam 11.30 pagi di Astana Negeri Sarawak.

"Istiadat yang diteraju oleh UPPAN Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Kuching dan Astana Negeri Sarawak ini bakal melibatkan seramai 78 kontinjen yang akan mengikuti perbarisan, sambil diserikan dengan pelbagai persembahan hiburan di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak (MSS).

"Pada hari yang sama, Majlis Jamuan Negeri juga akan diadakan di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada jam 8.00 malam dengan pengisian merangkumi upacara memotong kek hari lahir ke-78 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan persembahan pentas yang menarik,"jelas beliau.

Dalam pada itu, Majlis Jamuan Teh di bawah kendalian UPPAN Sarawak bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak pula katanya, menjadi acara penutup bagi sambutan ini, bermula jam 10.00 pagi di Hotel Riverside Majestic Kuching.

"Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanudi akan menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim, asnaf dan mereka yang memerlukan.

"Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang juga dijangka hadir bersama dif-dif kenamaan lain.

"Sama-sama kita berdoa agar semua acara yang kita hendak adakan ini berjalan dengan baik, cuacanya pun mengizinkan dan memberi keceriaan kepada TYT kita,"tambah beliau.

Untuk makluman, kesemua acara berkenaan akan disiarkan secara langsung di TVS saluran 122 serta Facebook dan Youtube Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep mewakili Timbalan-Timbalan Menteri Bertanggungjawab, Pengarah UPPAN Sarawak Hamdan Sharbini serta beberapa kenamaan lain.-Edisi UKAS