Industri hidrogen kini diibaratkan sebagai 'minyak' baharu ekonomi Sarawak.
Masakan tidak, di Malaysia, Sarawak muncul sebagai pelopor dalam pembangunan industri hidrogen dengan tumpuan khas pada pengeluaran hidrogen hijau sebagai tenaga masa depan.
Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif untuk memanfaatkan sumber semula jadi negeri ini seperti air dan kuasa hidroelektrik untuk menyokong inisiatif hidrogen hijau.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha negeri tersebut untuk menjadi hab tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara.
Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) yang buat julung kali diadakan pada 11 hingga 13 Jun 2024 di Sarawak akan menjadi perintis ke arah mempamerkan potensi negeri ini sebagai peneraju dalam ekonomi hidrogen hijau.
APGH 2024 berjaya menjadi tempat pertemuan untuk pemain industri dan pakar untuk mengetahui lebih lanjut inisiatif Sarawak dalam peralihan ke arah tenaga hijau.
Lebih menarik, APGH 2024 menghimpunkan pakar-pakar terkemuka dari seluruh dunia untuk berbincang perkembangan terkini berkaitan hidrogen hijau.
Tidak cukup dengan itu, persidangan dan pameran tersebut juga telah berjaya memberi pendedahan kepada syarikat tempatan mengenai industri hidrogen hijau dan peluangnya, selain menarik lebih ramai pelabur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg optimis APGH akan menjadi perintis ekonomi hidrogen hijau di rantau Asia Pasifik serta komited ke arah peralihan tenaga menjelang 2030.
Jelas beliau, persidangan dan pameran ini merupakan acara pertama seumpamanya yang penting untuk Sarawak sekali gus mempamerkan potensi Sarawak sebagai hab dunia bagi pengeluaran dan pembabgunan hidrogen hijau pengeluaran yang akan memulakan ekonomi hidrogen.
Datuk Patinggi Abang Zohari optimis APGH 2024 dapat menjadi platform terbaik untuk meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam industri tenaga hijau.
Malah dalam ucaptama semasa Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 di Raffles City Convention Centre, Singapura pada 9 September 2024, Premier Sarawak memberitahu, negeri itu kini melangkah sebagai peneraju global dalam pasaran hidrogen hijau yang merangkumi luar negara-negara ASEAN dan Asia Pasifik.
Tegas beliau, ia merupakan visi kerajaan negeri itu adalah untuk menempatkan Sarawak sebagai pemain utama terkemuka dalam sektor tenaga bersih.
Menarik perhatian, Sarawak menjadi bahagian penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 apabila berjaya menarik RM4.2 bilion dalam pelaburan yang diluluskan.
Jumlah pelaburan yang masuk ke negeri itu jelas menjadi peneraju menarik pelaburan ekonomi hijau melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakannya termasuk pengeluaran tenaga hidrogen hijau.
Inisiatif Sarawak ke arah ekonomi hijau itu juga seiring dengan perancangan masa panjang Malaysia dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Lantas, NETR dan NIMP 2030 memerlukan tenaga hijau dan apa yang diperlukan pada masa ini adalah tenaga hijau yang kompetetif menerusi ekonomi hijau.
Ekonomi Hidrogen Hijau Di Sarawak
Sarawak, negeri terbesar di Malaysia, sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, khususnya dalam sektor hidrogen hijau.
Hidrogen hijau merujuk kepada hidrogen yang dihasilkan melalui proses elektrolisis air, yang menggunakan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin, atau hidroelektrik.
Penghasilan hidrogen ini tidak melibatkan pelepasan karbon dioksida, menjadikannya mesra alam dan penting untuk peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Dalam usaha mencapai neutral karbon, Sarawak sedang mengorak langkah untuk memanfaatkan potensi besar yang ada dalam sumber tenaganya bagi membangunkan ekonomi hidrogen hijau.
Sarawak mempunyai kelebihan unik dalam penghasilan hidrogen hijau disebabkan oleh ketersediaan sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah, terutamanya tenaga hidroelektrik. Empangan Bakun, Murum, dan Baleh yang membekalkan tenaga elektrik berkapasiti tinggi menawarkan peluang besar untuk menjana hidrogen hijau melalui elektrolisis air.
Selain itu, dengan keluasan tanah yang luas dan infrastruktur yang sedang dibangunkan, Sarawak mampu menampung projek-projek besar dalam penghasilan, penyimpanan, dan pengangkutan hidrogen hijau, baik untuk pasaran tempatan mahupun eksport.
Ekonomi hidrogen hijau bukan sahaja menyumbang kepada usaha pengurangan pelepasan karbon, malah juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beberapa manfaat ekonomi yang dapat dikenal pasti termasuk diversifikasi ekonomi hidrogen hijau boleh membantu Sarawak mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga tradisional seperti minyak dan gas.
Ini dapat mempelbagaikan ekonomi negeri dan meningkatkan daya tahan terhadap turun naik harga komoditi global.
Dengan pembinaan loji penghasilan hidrogen hijau, pusat penyimpanan, dan infrastruktur pengangkutan, ribuan peluang pekerjaan baharu boleh diwujudkan dalam sektor-sektor seperti kejuruteraan, penyelidikan, dan pembangunan (R&D), serta pengurusan tenaga.
Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi pengeksport utama hidrogen hijau kepada negara-negara yang mempunyai permintaan tinggi terhadap tenaga bersih, terutamanya Jepun, Korea Selatan, dan negara-negara Eropah.
Dengan kedudukannya yang strategik, Sarawak berupaya memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan hidrogen global.
Sarawak juga telah menjalinkan kerjasama dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan untuk memajukan teknologi dan infrastruktur hidrogen.
Ini membuka peluang untuk Sarawak memainkan peranan yang lebih besar dalam pasaran hidrogen hijau di peringkat antarabangsa.
Walaupun prospek ekonomi hidrogen hijau di Sarawak sangat memberangsangkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi iaitu kos penghasilan yang tinggi.
Teknologi untuk menghasilkan hidrogen hijau masih mahal jika dibandingkan dengan hidrogen yang dihasilkan daripada gas asli.
Kos elektrolisis dan penyimpanan hidrogen juga merupakan cabaran yang besar dalam memastikan daya saing tenaga ini di pasaran.
Pada masa sama, untuk membangunkan ekonomi hidrogen yang mampan, Sarawak memerlukan infrastruktur yang luas untuk pengangkutan, penyimpanan dan pengedaran hidrogen.
Bagi memajukan ekonomi hidrogen hijau, Sarawak perlu meneruskan pelaburan dalam teknologi dan infrastruktur yang relevan. Beberapa cadangan untuk mempercepatkan pembangunan sektor ini termasuk:
Namun, ekonomi hidrogen hijau mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan rendah karbon di Sarawak.
Potensi Masa Depan
Dengan komitmen yang berterusan daripada kerajaan negeri dan kerjasama dengan pihak industri, masa depan industri hidrogen di Sarawak kelihatan cerah.
Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, Sarawak dijangka menjadi pemain utama dalam pasaran hidrogen hijau antarabangsa dengan kapasiti eksport yang tinggi ke pasaran Asia dan Eropah.
Kerajaan Sarawak juga telah menunjukkan kesungguhan untuk membangunkan lebih banyak kemudahan pengeluaran hidrogen hijau serta membina lebih banyak stesen janakuasa hidrogen.
Ini akan memperluas penggunaan hidrogen dalam sektor pengangkutan dan tenaga tempatan yang seterusnya akan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat tenaga hijau di Malaysia.
Di samping itu, pelaburan dalam teknologi penyimpanan dan pengangkutan hidrogen akan membuka peluang lebih luas untuk Sarawak memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan tenaga hijau global.
Penggunaan hidrogen dalam pelbagai industri seperti pembuatan, penjanaan tenaga, dan pengangkutan berat juga dijangka meningkat yang menjadikan industri hidrogen sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa hadapan.
Industri hidrogen di Sarawak sedang berada pada landasan yang betul untuk menjadi sektor yang menjanjikan, selaras dengan permintaan global terhadap sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Dengan sokongan kerajaan negeri, kerjasama strategik dengan pemain industri antarabangsa, serta potensi sumber tenaga boleh baharu yang melimpah, Sarawak bersedia untuk menjadi hab utama bagi industri hidrogen hijau di rantau Asia Tenggara.
Perancangan Jangka Panjang Untuk Industri Hidrogen
Premier Sarawak telah memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif ekonomi hidrogen di Sarawak.
Usaha beliau dalam menjadikan hidrogen sebagai salah satu tunjang ekonomi hijau negeri tersebut dilihat sebagai langkah strategik ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga boleh baharu yang utama di rantau Asia.
Premier Sarawak telah mengambil langkah signifikan dalam memajukan ekonomi hidrogen di negeri ini dengan menggariskan pelan jangka panjang untuk memanfaatkan potensi sumber semula jadi negeri, terutamanya tenaga hidroelektrik, dalam pengeluaran hidrogen hijau.
Di bawah kepimpinannya, Sarawak menumpukan kepada teknologi hidrogen hijau yang dihasilkan melalui elektrolisis air menggunakan tenaga hidro.
Premier Sarawak percaya bahawa hidrogen hijau akan menjadi pemacu utama ekonomi negeri dalam dekad yang akan datang, sejajar dengan trend global ke arah tenaga hijau.
Beliau juga menyatakan bahawa hidrogen boleh menjadi 'minyak' baharu bagi Sarawak kerana potensi eksport hidrogen hijau ke negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan adalah amat besar.
Negara-negara tersebut sedang beralih kepada sumber tenaga bersih, dan Sarawak dilihat sebagai rakan strategik yang mampu memenuhi permintaan tersebut.
Di bawah pimpinan Premier Sarawak, beberapa projek penting telah dilaksanakan, termasuk pembinaan loji pengeluaran hidrogen hijau pertama di Malaysia, yang terletak di Kuching. Loji ini dikendalikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan berfungsi untuk menghasilkan hidrogen melalui proses elektrolisis yang dikuasakan oleh tenaga hidroelektrik.
Loji ini bukan sahaja menghasilkan hidrogen untuk kegunaan tempatan tetapi juga untuk tujuan eksport.
Premier Sarawak telah menekankan bahawa pembangunan infrastruktur hidrogen yang mantap adalah kunci kepada kejayaan industri ini.
Selain loji pengeluaran, beberapa stesen janakuasa hidrogen dan kenderaan hidrogen seperti bas turut diperkenalkan untuk menyokong penggunaan hidrogen sebagai tenaga alternatif dalam sektor pengangkutan di Sarawak.
Kerjasama Antarabangsa
Premier Sarawak telah berjaya menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat multinasional dan negara luar dalam usaha mengembangkan ekonomi hidrogen.
Antaranya menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat gergasi antarabangsa yang berpangkalan di Korea Selatan - Samsung Engineering, Lotte Chemical dan Posco telah bekerjasama untuk membangunkan projek hidrogen/ammonia hijau H2biscus Sarawak di Bintulu.
Projek tersebut adalah untuk menukar kuasa hidro dan gas asli kepada metanol hidrogen hijau dan hidrogen biru dan untuk penukaran hidrogen kepada ammonia, dengan tumpuan membekalkan hidrogen dan ammonia ke Korea Selatan dan Sarawak.
Samsung Engineering juga sedang melaksanakan projek mega metanol Sarawak Petchem di Bintulu. Kilang tersebut dijangka memulakan operasi akhir tahun ini dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.7 juta tan.
Menarik perhatian, Premier Sarawak juga telah mengadakan lawatan ke luar negara, terutamanya ke negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan, untuk menarik pelaburan asing ke dalam sektor hidrogen di Sarawak.
Negara-negara tersebut sedang berusaha untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sekaligus menjadikan Sarawak rakan strategik yang penting dalam pembekalan hidrogen hijau.
Premier Sarawak juga sangat mementingkan pembangunan tenaga kerja tempatan dalam sektor teknologi hijau dan hidrogen.
Di bawah kepimpinannya, Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dengan memperkenalkan program latihan dan pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi hijau yang berkaitan dengan hidrogen.
Usaha ini penting untuk memastikan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi keperluan industri hidrogen yang semakin berkembang.
Sarawak juga telah menjalin kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hidrogen.
Premier Sarawak sedar bahawa inovasi dan teknologi memainkan peranan penting dalam mengurangkan kos pengeluaran hidrogen dan menjadikannya lebih kompetitif di pasaran global.
Selain eksport, Premier Sarawak juga menekankan kepentingan penggunaan hidrogen secara domestik sebagai sumber tenaga alternatif.
Beberapa projek rintis telah dilaksanakan, termasuk penggunaan bas hidrogen di Kuching yang merupakan salah satu projek perintis pertama di Asia Tenggara.
Ini menunjukkan komitmen Premier untuk memperkenalkan hidrogen dalam sektor pengangkutan dan tenaga tempatan, yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan karbon di Sarawak.
Kesimpulan
Premier Sarawak telah mempelopori usaha yang komprehensif dan strategik dalam membangunkan ekonomi hidrogen di Sarawak.
Dengan komitmen kepada tenaga hijau, pembangunan infrastruktur, kerjasama antarabangsa, serta sokongan dasar yang kukuh, Sarawak berada di landasan yang tepat untuk menjadi hab utama hidrogen hijau di rantau ini.
Inisiatif-inisiatif ini tidak hanya memberi manfaat kepada ekonomi negeri tetapi juga menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim melalui penggunaan tenaga yang lebih bersih dan lestari.
Secara keseluruhan, usaha Kerajaan Sarawak dalam pembangunan hidrogen adalah langkah strategik yang berpandangan jauh dan selari dengan trend global ke arah tenaga boleh diperbaharui.
Walaupun terdapat cabaran yang perlu diatasi, pendekatan yang bijak dalam membangunkan teknologi, infrastruktur, serta rangkaian kerjasama antarabangsa menjadikan Sarawak berpotensi besar untuk menjadi peneraju dalam industri hidrogen hijau di rantau ini.
Pada masa yang sama, inisiatif ini akan memacu pembangunan ekonomi Sarawak dengan cara yang mampan dan mesra alam.