KUCHING: Karnival Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 bakal diadakan di Dataran Perayaan, Stadium Sarawak bermula dari 21 hingga 28 September 2024 sekaligus menyemarakkan lagi suasana temasya dwitahunan tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik disusun bagi menghiburkan pengunjung serta memberi sokongan kepada atlet para yang akan bertanding dalam kejohanan kali ini.
Antara aktiviti yang akan menjadi tumpuan ialah Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Persembahan Busking Orang Kurang Upaya (OKU), Pertandingan Pakaian Tradisional Kanak-kanak serta Pertandingan Karaoke Warga Emas yang dijangka mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, tayangan perasmian Para SUKMA Sarawak turut dijadualkan, diikuti pertandingan kecantikan, persembahan bermukun dan sesi Pengenalan Pengendalian OKU serta pemahaman golongan OKU yang akan dikendalikan oleh Persatuan Pembangunan Kemahiran OKU Sarawak (SOSDA).
Karnival ini terbuka kepada semua, dan orang ramai digalakkan hadir bersama keluarga untuk memeriahkan lagi acara ini.
Orang ramai diseru untuk menyemarakkan Karnival Para SUKMA XXI Sarawak 2024 dan menunjukkan sokongan padu kepada para atlet yang berjuang di pentas kebangsaan. -EDISI UKAS