Raptai Penuh Majlis Kesyukuran Sempena Hari Malaysia di Sarawak Berjalan Lancar

Disiarkan pada 13 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



SRI AMAN: Raptai penuh bagi Majlis Kesyukuran Anjuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2024 berlangsung dengan jayanya di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Sebanyak enam agama utama di Sarawak mengambil bahagian dalam pembacaan doa iaitu Baha’i, Buddha, Hindu, Kristian, Tao dan Sikh.

Setiap wakil agama mempersembahkan doa sebagai simbolik kepada keharmonian dan perpaduan yang wujud dalam kepelbagaian agama di negeri ini.

Kehadiran pelbagai agama dalam satu majlis ini menjadi bukti jelas bahawa Sarawak terus menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan toleransi dan perpaduan antara kaum dan agama.

Turut hadir dalam sesi raptai tersebut adalah Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Dato Georgina Apphia Ngau.

Majlis yang penuh bersejarah ini dijangka dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian pada 14 September.

Pada sebelah malam, 'Konsert Cinta Malaysia' dijangka memeriahkan suasana dengan persembahan daripada artis terkenal seperti Ramlah Ram, Baby Shima, Haziq Rosebi serta beberapa artis tempatan.

Konsert yang berlangsung di Tebingan Sungai Sri Aman ini dijangka menarik perhatian penduduk setempat, sekaligus menambah seri kepada sambutan Hari Malaysia di Sarawak.

Pemilihan Sri Aman sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia turut memberi pendedahan baharu kepada masyarakat tempatan tentang kepentingan perpaduan dan integrasi nasional.

Acara ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara kaum, tetapi juga membuka peluang bagi penduduk setempat untuk lebih memahami dan menghargai kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia.

Sarawak sekali lagi membuktikan komitmen mereka terhadap perpaduan, bukan hanya melalui acara keagamaan, tetapi juga melalui hiburan dan budaya yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat. - EDISI UKAS