Kerajaan Sarawak Pertimbang Cadangan Tangani Ketidaksepadanan Bekalan Perumahan

Disiarkan pada 07 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan cadangan untuk memperluaskan Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS) sebagai langkah strategik untuk menangani ketidaksepadanan dalam bekalan perumahan di wilayah ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, beliau akan membentangkan perkara berkenaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk perbincangan holistik termasuk pembayaran levi oleh pemaju.

Menurutnya, ketidaksepadanan tersebut berpunca daripada jurang ketara antara jumlah rumah yang tersedia dan jumlah rumah yang diperlukan.

"Pada masa ini, terdapat lebih daripada 100,000 rumah yang tidak berpenghuni di Sarawak, disebabkan oleh migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar.

"Daripada 800,000 lebih rumah di Sarawak, hanya kira-kira 700,000 isi rumah yang berpenghuni.

"Ini bermakna kita mempunyai jurang yang ketara untuk ditangani,"katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak di Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Datuk Amar Profesor Dr Sim berkata demikian berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden SHEDA, Augustine Wong selaras dengan inisiatif Deposit Madani yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Kementerian Perumahan Persekutuan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Inisiatif ini adalah usaha untuk meningkatkan aksesibiliti perumahan bagi golongan kurang berkemampuan.

Dalam ucapan sama, Dato Sri Profesor Dr. Sim turut memaklumkan bahawa Premier Sarawak akan memastikan isu-isu berkaitan pembangunan hartanah dan perumahan mampu milik di wilayah ini dapat ditangani secara menyeluruh.

Jelasnya lanjut, kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk pembangunan perumahan mampu milik yang bertujuan untuk mencapai kemakmuran ekonomi, penyertaan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Dalam majlis itu, Datuk Amar Profesor Dr Sim turut mewakili Premier Sarawak menyampaikan Anugerah Kreatif kepada Elica Sdn Bhd, Anugerah Imej Korporat kepada Ibraco Berhad dan Anugerah Ruangan Pempamer Terbaik kepada Lee Onn Development Sdn Bhd.

Sebanyak 70 pempamer telah menyertai ekspo berkenaan yang berlangsung selama tiga hari, mulai 6 hingga 8 September ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi Penganjur Ekspo Hartanah SHEDA 2024 Steve Tan Chen Hang dan beberapa kenamaan lain.-Edisi UKAS