MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini termasuk aktiviti penyeludupan ke luar negara dan penyelewengan jualan kepada sektor yang tidak berkelayakan menerima subsidi.
"Itu sebabnya kita tidak boleh berkompromi kepada mana-mana pihak yang terlibat untuk menyeludup, untuk menyeleweng subsidi-subsidi yang diberikan kepada rakyat yang kita anggap sebagai satu usaha sabotaj kepada agenda kerajaan dalam pemberian subsidi kepada rakyat.
"Kita tidak mahu subsidi itu mengalir kepada pihak-pihak yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dengan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
"Jadi kita akan meneruskan usaha untuk membanteras kalau dalam OPS Tiris dalam usaha untuk menangani isu keterisan ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Isu Bekalan Minyak Petrol RON97 Bagi Kenderaan Pelancong Brunei/Indonesia, bertempat di pejabat KPDN Miri, Wisma Yu Lan Miri pada Isnin.
Datuk Armizan berkata, melalui OPS Tiris 3.0 ini memfokuskan penguatkuasaan kepada barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi lain seperti petrol RON95, minyak masak polibeg 1kg, gas petroleum cecair (LPG), gula putih bertapis (kasar dan halus) dan tepung gandum.
Berdasarkan statistik operasi itu sehingga 24 Ogos 2024, sebanyak 642 kes melibatkan rampasan 5.8 juta liter diesel bersubsidi bernilai RM63.3 juta direkodkan, hasil dari pemeriksaan di 12,389 buah premis di seluruh negara dengan seramai 304 suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
Hadir sama dalam mesyuarat itu, Ketua Setiausaha KPDN Dato' Seri Mohd Sayuthi Bakar, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Dato Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dan Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin. -EDISI UKAS