Sarawak Lakar Sejarah, Muncul Juara Keseluruhan Muaythai SUKMA XXI

Disiarkan pada 21 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS
BINTULU: Skuad muaythai Sarawak melakar sejarah apabila muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dengan merangkul 5 pingat emas, 4 perak dan 1 gangsa pada hari terakhir sukan itu.
Kejayaan skuad muaythai tuan rumah kali ini jauh mengatasi rekod pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur dengan kutipan dua emas.
Lebih manis apabila kejayaan kali ini melepasi sasaran dua pingat emas yang diletakkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak.
Detik kejayaan cemerlang Sarawak dilakar pada Selasa apabila tiga atletnya berjaya menghadiahkan kilauan emas dalam aksi final yang dihangatkan dengan kehadiran para penyokong di Naim Street Mall, Bintulu Paragon.
Maurien Hii Sie Lin terlebih dahulu membuka tirai dengan menewaskan lawannya dari Kelantan dengan mata 17-4 dalam kategori 48-51kg wanita untuk mengesahkan pingat emas pertama.
Rentak cemerlang Maurien diteruskan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar dalam kategori 51-54kg lelaki dan Texas Jeremy Lo dalam kategori 54-57kg lelaki.
Bagaimanapun, sorang lagi wakil Sarawak, Azhad tumpas di tangan atlet Sabah, Hellmi dengan mata 26-15 untuk mengesahkan perak.
Manakala Cherilynn Christalle pula tunduk kepada Nur Bisyarah dari Perak juga untuk meraih perak.
Dalam temu bual bersama Ketua Kontinjen Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, beliau melahirkan rasa bangga dengan prestasi atlet-atlet muaythai Sarawak kerana berjaya mencapai sasaran pingat emas.
Perlawanan akhir semalam turut disaksikan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang seterusnya menyampaikan pingat kepada pemenang. - EDISI UKAS