SUKMA 2024: Kerajaan Sarawak Tawar Insentif RM15,000 Bagi Atlet Raih Pingat Emas

Disiarkan pada 17 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak menawarkan insentif menarik sebanyak RM15,000 kepada atlet yang berjaya memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sekaligus menjadikan jumlah insentif yang terbesar ditawarkan berbanding negeri lain.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ganjaran yang ditawarkan itu merupakan suntikan semangat kepada semua atlet Sarawak untuk menjadikan sukan sebagai karier.

“Saya telah berbincang dengan rakan-rakan dalam Kabinet Sarawak dan kita telah membuat keputusan untuk memberikan insentif kepada atlet kita yang memenangi pingat emas ialah RM15,000. Kalau mereka dapat pingat perak, RM5,000 dan pingat gangsa RM3,000.

“Ini adalah untuk suntikan sokongan dan dorongan supaya mereka dapat jadikan sukan ini sebagai karier sama seperti Pandelela Rinong dan Bonnie Bunyau,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan perlawanan akhir acara Taekwando SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini pada Jumaat.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kontinjen Sarawak buat masa ini mendahului carta kutipan pingat SUKMA Sarawak 2024 dengan merangkul tujuh pingat emas, empat perak dan lima gangsa.

“Kita hari ini berada di tangga pertama menerusi kutipan tujuh pingat emas, empat perak dan gangsa lima. Jumlah keseluruhan 16 pingat. Kita berada di puncak buat masa ini,”ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr. Ripin Lamat serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee. -EDISI UKAS