Kota Samarahan Sambut Ketibaan Sukma 2024

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Stadium Tertutup Kota Samarahan menjadi tumpuan ramai bagi menyaksikan perlawanan pertama peringkat kumpulan futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 Sarawak yang menyingkap tirai pada Selasa.
 
Pertembungan tuan rumah dan skuad Perak yang berakhir seri 4-4 disaksikan lebih 3,000 penonton.
 
Terdahulu, turut berlangsung perlawanan di antara Melaka-Sabah, Pulau Pinang-Terangganu dan Selangor-Johor.
 
Selain futsal, Samarahan turut dipilih sebagai venue pertandingan catur yang diadakan di Dewan Jubli UiTM Samarahan bermula 20 hingga 24 Ogos ini.

 
Kota Samarahan Hab Pendidikan Sarawak
 
UNIMAS

Selain menjadi venue pilihan penganjuran acara sukan sempena SUKMA XXI 2024 Sarawak, bagi pengunjung terutamanya yang pertama kali tiba, Kota Samarahan adalah hab pendidikan negeri Sarawak.
 
Di sini terletaknya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1992 bermula dengan dua fakulti perintis iaitu Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber.
 
Universiti ini terus berkembang dengan pesat pada tahun-tahun berikutnya, dengan penambahan fakulti serta peningkatan jumlah kakitangan dan penuntutnya.
 
UNIMAS telah menyumbang peranan yang amat penting kepada Kerajaan Sarawak dalam pelbagai bidang perubatan, penyelidikan, pendidikan dan sebagainya.

 
Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR)

 
Sejarah penubuhan awal IPGKTAR bermula pada tahun 1998 bagi menggantikan Maktab Perguruan Sains Bintulu.
 
Terletak di Jalan Dato Mohd Musa, Kota Samarahan, maktab itu beroperasi pada 1 Jun 1999 dan telah dirasmikan pada 22 November 1999 oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abdul Taib Mahmud.
 
Kerajaan Negeri Sarawak telah memberi tapak tanah seluas 64 ekar kepada Kementerian Pendidikan untuk pembinaan Maktab Perguruan Islam. Tetapi memandangkan ambilan guru agama tidak ramai, maka cadangan asal kampus baru ini ditukar menjadi Maktab Perguruan Samarahan bagi mengganti Maktab Perguruan Sains Bintulu.
 
Dalam ucapan perasmian Maktab Perguruan Samarahan, Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abdul Taib Mahmud berharap agar nama Maktab Perguruan Samarahan ditukar kepada Maktab Perguruan Tun Abdul Razak.

 
Intan Kampus Sarawak

 
INTAN Kampus Sarawak (INSARA) sebelumnya dikenali sebagai INTAN Wilayah Timur Laut (INTILA) pada tahun 1999.
 
Penubuhan INTILA bertujuan untuk mengendalikan program-program latihan yang khusus bagi memenuhi keperluan latihan penjawat awam Persekutuan di Sarawak, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Pada 26 Mac 2001, nama INTILA telah ditukar kepada INTAN Malaysia Sarawak selaras dengan penubuhan sebuah kampus baharu iaitu INTAN Malaysia Sabah di Kota-Kinabalu, Sabah. 
 
Kemudiannya, pada 9 April 2003, INTAN Malaysia Sarawak dijenamakan semula sebagai INTAN Kampus Wilayah Sarawak (INSARA).
 
INSARA kemudian berpindah ke kampus tetap di Kota Samarahan, Sarawak dan mula beroperasi sepenuhnya pada 18 Ogos 2011.
 
INSARA telah berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Barisan Hadapan sejak tahun 2013 dengan fokus utama pada melatih penjawat awam yang bekerja secara langsung dengan orang ramai, khususnya dalam bidang perkhidmatan pelanggan.
 
Ini bertujuan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam mencapai tahap yang cemerlang.

 
Bandar Satelit
 
Menjadi hub pendidikan di Sarawak, Kota Samarahan terus berkembang maju dengan adanya pusat pendidikan dan perubatan, universiti dan kemudahan perubatan yang memperkasa pertumbuhan sosioekonomi hingga membentuk Bandar Satelit.
 
Keadaan ini telah menarik golongan profesional dan penyelidik yang secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan.
 
Pembangunan yang belaku itu telah mendorong kepada wujudnya keperluan penduduk yang semakin bertambah dan berkembang.
 
Pada masa ini, selain pembangunan infrastruktur, pelbagai projek perumahan sedang giat dilakukan bagi memenuhi kehendak dan keperluan warga Kota Samarahan.
 
Bukan itu sahaja, Kota Samarahan bakal menjadi perintis Transit Aliran Automasi (ART) di Sarawak.
 
Sistem pengangkutan awam itu dibina bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang menghubungkan Kota Samarahan ke Bandaraya Kuching. -EDISI UKAS