SERIAN TUMPUAN RAMAI MERIAHKAN ACARA GIMNASTIK SUKMA 2024

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Bahagian Serian bakal menjadi tumpuan ramai bagi menyaksikan acara gimnastik artistik sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 Sarawak.

 
Acara itu akan berlangsung di Serian Conference Centre bermula 21 hingga 24 Ogos ini.
 
Karnival SUKMA Bahagian Serian turut diadakan bagi memeriahkan  lagi penganjuran SUKMA pada kali ini di bahagian itu pada 17 hingga 24 Ogos 2024.
 
Karnival itu menyajikan aneka makanan, krafttangan dan produk tempatan.
 
Sementara itu, Bahagian Serian telah bersiap sepenuhnya bagi menyambut kunjungan orang ramai sempena SUKMA XXI 2024 terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjejak kaki ke bahagian itu.

 
SERIAN ‘BUMI BIDAYUH’

 
Serian terletak kira-kira 60-kilometer dari bandaraya Kuching terdiri daripada daerah Serian, Tebedu dan Siburan dengan majoriti penduduknya adalah kaum Bidayuh.
 
Namun bahagian Serian turut terdiri daripada kaum Iban, Melayu dan Cina.
 
Serian juga mempunyai dua daerah kecil iaitu Teng Bekap dan Balai Ringin.
 
Serian telah diiktiraf sebagai salah satu daripada bahagian di Sarawak pada 11 April 2015 oleh Ketua Menteri Sarawak pada Ketika itu, Tan Sri Adenan Satem.
 

MERCU TANDA DURIAN

 
Jika berkunjung ke Serian, mercu tanda durian pasti menarik perhatian ramai.
 
Durian telah dipilih sebagai mercu tanda kerana Serian terkenal dengan buah duriannya yang terbaik dan mempunyai rasa unik jika dibandingkan di tempat lain di Sarawak.
 
Sejak dari dulu lagi Serian sudah terkenal dengan pelbagai spesies duriannya seperti durian kunyit yang mempunyai isi kekuningan.
 
Kebanyakan durian ini ditanam di kawasan pergunungan dan bukit yang terdapat di seluruh bahagian itu.
 
Pada musim buah, Serian adalah ‘syurga’ bagi pengemar buah durian.

 
PASAR BASAH SERIAN
 

Di pasar basah Serian, penduduk yang majoritinya kaum Bidayuh menjual pelbagai jenis hasil dan produk tempatan termasuklah terkenal dengan makanan eksotiknya.
 
Ada di antaranya mungkin sukar ditemui di tempat lain.
 
Pasar ini sering menjadi tumpuan bagi mereka yang singgah di Serian sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching.
 
Selain itu, pelbagai jenis kraftangan dan pakaian tradisional turut menjadi tarikan kepada pengunjung.
 
Dijual dengan harga yang berpatutan, pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan kraftangan penduduk tempatan.
 
 
PINTU MASUK KE SARAWAK

 
Jarak Serian dengan sempadan Indonesia di Tebedu kira-kira hanya 30 kilometer dan menjadikan Serian sebagai pintu masuk rakyat negara jiran itu ke negeri ini.
 
Serian menjadi Lokasi persinggahan sebelum meneruskan perjalan ke bandar-bandar lain di negeri Sarawak.
 
Bandar Indonesia yang bersempadan dengan Tebedu ialah Entikong, Sanggau.
 
Tebedu pernah menjadi destinasi popular bagi pelancong tempatan dan dari Semenanjung Malaysia pada masa lalu kerana barang yang dijual di sempadan negara jiran tersebut menarik dan agak murah.
 
 
TAMAN DANU

 
Taman Danu turut menjadi salah satu tarikan menarik Serian.
 
Tasik buatan itu dahulunya kawasan berpaya yang ditenggelami air susulan pembinaan jalan dari Bandar Serian ke Kampung Tangga pada tahun 90-an.
 
Selain menjadi tempat rekreasi, kini Tasik Taman Danu juga terkenal dengan aktiviti pelancongan yang turut melibatkan penyertaan antarabangsa.
 
Ini termasuk penganjuran Karnival Kawalan Jauh Antarabangsa Serian yang diadakan pada setiap tahun.
 
Karnival itu berjaya menarik penyertaan antarabangsa seperti Brunei, Arab Saudi, Thailand dan Indonesia.
 
Selain itu, Pesta Danu Serian turut menjadi salah satu daripada program pelancongan menarik di Serian.
 
Dalam masa yang sama pesta tersebut menjadi platform mempromosikan budaya tempatan kepada luar.
 
Dipilih sebagai tuan rumah menganjurkan acara gimnastik pada SUKMA kali ini, sudah pasti penduduk tempatan teruja untuk menerima kunjungan ramai terutamanya dari luar.

Penganjuran Karnival SUKMA Bahagian Serian juga akan meriahkan lagi SUKMA di Serian pada temasya edisi ini. -EDISI UKAS