SUKMA 2024: Miri Destinasi Pelancongan Hebat, Sedia Terima Kunjungan Ramai
Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS

MIRI: Miri sebuah bandaraya minyak telah dipilih sebagai venue enam kategori sukan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Antaranya Sofbol yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Karate (IKBN Miri), Lawan Pedang (Eastwood Valley Golf & Country Club), Silat (Stadium Tertutup Bandaraya Miri), Ragbi (Stadium Miri) dan Pelayaran (Marina Bay).
Dalam pada itu, mungkin ramai yang tidak tahu, bandaraya Miri turut memiliki banyak tempat menarik yang patut dikunjungi terutamanya bagi pengunjung dari negeri lain yang baharu tiba di bandaraya itu sempena SUKMA pada kali ini.
THE GRAND OLD LADY
Bandaraya Miri terkenal dengan sejarah penemuan minyak seawal tahun 1910 lagi.
Terletak di Bukit Kanada, The Grand Old Lady merupakan sebuah monument bersejarah berkaitan dengan wujudnya telaga minyak pertama di Malaysia.
Telaga minyak itu mula digerudi pada 10 Ogos 1910 yang mempunyai kedalaman maksium lebih 1,000 kaki.
Operasi telaga minyak itu ditutup pada penghujung Oktober 1972 dengan jumlah anggaran keluaran sebanyak 660,000 tong.
Di sini, pengunjung juga berpeluang mendalami sejarah industri minyak Sarawak di Muzium Petroleum yang terletak bersebelahan dengan monumen The Grand Old Lady.
Logo gergasi MIRI yang turut didirikan menjadi salah satu tarikan kepada pelancong yang datang ke sini.
Papan tanda gergasi MIRI sepanjang 37 meter dan tinggi 18 meter tinggi itu menghadap bandaraya Miri dan Laut Cina Selatan merupakan tempat menarik untuk pengunjung merakam kenangan.
Selain itu, pengunjung dapat menyaksikan keindahan bandaraya Miri dari puncak bukit itu.
Di sini juga terdapat Kapsul Masa yang mengandungi Buku Cenderamata Perayaan, Perisytiharan Bandaraya Miri, Surat Khabar tempatan dan pelbagai dokumen bercetak yang akan dibuka dengan rasminya pada 20 Mei 2105 nanti.
LUAK BAY ESPLANADE
Jika berkunjung ke Miri, tidak lengkap jika tidak menikmati keindahan pantai di Luak Bay Esplanade.
Pantai Luak Bay Esplanade hanya 11 kilometer, atau 15 minit dari pusat Bandaraya Miri.
Kawasan rekreasi ini mempunyai banyak daya tarikan pantai yang menakjubkan.
Pengunjung juga boleh bersiar-siar di pantai sambil menikmati angin laut China Selatan yang dingin.
Di Luak Bay Esplanade terdapat pelbagai aktiviti sosial dan keluarga yang boleh lakukan seperti aktiviti memanggang, berkelah, berkhemah dan menikmati angin senja sambil melihat keindahan matahari terbenam.
Di sini juga pengunjung mudah untuk mendapatkan makanan dan minuman yang dijual di gerai-gerai sepanjang pantai itu.
PUSAT KRAFTANGAN MIRI
Bukan sahaja memiliki tempat bersejarah dan keindahan pantainya, ditengah-tengah bandaraya Miri juga ada Pusat Kraftangan yang tidak kurangnya terkenal.
Pernah menjadi lokasi persinggahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama rombongan semasa Kembara Kenali Borneo pada tahun 2023, di sini pengunjung boleh mendapatkan pelbagai jenis produk dan kraftangan tempatan.
Antara yang sering dijadikan buah tangan setelah bekunjung ke pusat kraftangan itu termasuk manik, tempayan, parang, anyaman bakul Orang Ulu, beg Penan dan banyak lagi.
Salah seorang peniaga Pusat Kraftangan Miri, Chan Chew Hua memberitahu, mereka sering menerima kunjungan orang ramai terutamanya dari luar Miri untuk mendapatkan kraftangan Sarawak.
Beliau yang telah menjual kraftangan di situ sejak tahun 2007 lagi menambah, antara kraftangan yang menjadi tumpuan adalah seperti kraftangan yang dijadikan sebagi hantaran perkahwinan bagi masyarakat Iban, Bidayuh dan juga Orang Ulu.
Suasana pada sebelah malam tidak kurang hebatnya di bandaraya Miri.
Di sini, pengunjung yang pertama kali ke bandaraya Miri tidak perlu khuatir untuk menjamu salera.
Terdapat banyak kedai makan dan gerai-gerai yang menjual aneka makanan tempatan dan minuman.
Miri merupakan destinasi ideal bagi pencinta makanan, menawarkan pelbagai hidangan yang menggoda selera. Bagi mereka yang mencari makanan tradisional Malaysia seperti nasi lemak, laksa Sarawak, dan satay, Miri adalah pilihan yang sempurna.
Bagi mereka yang lebih gemar menikmati hidangan antarabangsa, terdapat banyak restoran yang menyediakan masakan Itali, Korea, Jepun, Barat dan lain-lain.
Kesimpulannya, bandaraya Miri pasti menawarkan pengalaman hebat kepada pengunjung.-EDISI UKAS