‘Bumi’ Melanau Rai Pengunjung Sempena SUKMA XXI Sarawak
Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS

MUKAH: Tiga kilauan emas menanti juara tiga kategori sukan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 di Mukah.
Lebih menarik, perlawanan akhir Bola Sepak akan dianjurkan di bahagian itu yang sudah pastinya dinantikan peminat tanah air.
Bagi bola sepak, orang ramai dapat menyaksikan persaingan peringkat separuh akhir dan akhir di Stadium Mukah dan Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).
Selain itu, Judo turut diadakan di Dewan Sri Balau UiTM Mukah manakala Bola Jaring diadakan di Politeknik Mukah.
MUKAH ‘BUMI’ MELANAU
Melanau merupakan antara kaum terbesar di Sarawak iaitu kira-kira 130,000 dan penempatannya lebih tertumpu di Bahagian Mukah.
Mukah terdiri daripada Daerah Dalat, Matu, Daro, Mukah dan Tanjung Manis dan mempunyai keluasan 2,536 kilometer persegi.
Ada beberapa versi lisan berkenaan asal usul nama Mukah.
Mukah membawa maksud Melayu ‘Muka’. Dikatakan nama bandar itu diambil sempena gadis cantik misteri yang membantu saudagar karam dari Brunei.
Selain itu, ada juga versi lain ialah wajah cantik timbul di permukaan laut.
Namun tidak jelas kenapa bandar itu menggunakan nama Melayu dan bukan menggunakan perkataan Melanau. Dalam Melanau, muka adalah bermaksud ‘jawai’.
RUMBIA
Rumbia merupakan makanan ruji bagi kaum Melanau sejak dari dahulu lagi.
Setiap keluarga menghasilkan pelbagai produk makanan seperti Linut, Sagu, Tebaloi dan sebagainya daripada rumbia.
Malah ia menjadi salah satu daripada sumber pendapatan selain daripada aktiviti nelayan.
Namun yang uniknya, ulat mulong yang diambil daripada batang rumbia (selepas beberapa minggu ditebang) menjadi makanan eksotik dan harganya mencapai hingga RM80 untuk sekilogram.
Ada juga dikalangan penduduk di Mukah menternak ulat mulong secara komersial berikutan permintaan tinggi daripada orang ramai.
Rasanya yang berlemak menjadikan ulat mulong sentiasa mendapat permintaan tinggi termasuklah dari bahagian lain negeri ini.
UMAI
Tidak lengkap jika berkunjung ke bandar Mukah tidak mencuba merasai rasa unik Umai yang menjadi simbol keunikan makanan Mukah.
Dihasilkan daripada ikan mentah seperti ikan ‘pirang’ dan ‘puput’ yang akan digaul bersama bahan lain seperti limau, bawang, kacang tumbuk, cili, garam dan perasa sudah pastinya memberikan pengalaman menarik bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke bandar Mukah.
Di pasar basah Mukah terdapat 14 gerai yang mengusahakan perniagaan Umai.
Salah seorang dari mereka, Abu Bakar Masuot, 46, yang mengusahakan umai sejak lebih 20 tahun.
Dibantu Mohd Firdaus 18, Abu mampu menjual 20 hingga 30 bekas plastik Umai setiap hari.
Jualannya meningkat semasa musim perayaan dan beliau dapat menjual lebih 50 bekas sehari.
Setiap bekas dijual dengan harga RM15 termasuk bahan yang digunakan yang dapat dimakan serta merta.
Menariknya di Pasar Basah Mukah ada Mukah Umai King bersebelahan gerai itu yang menyediakan tempat makan khas kepada peminat Umai.
Umai yang diusahakan Abu sering mendapat sambutan bukan sahaja daripada peminat Umai negeri ini malah menjadi tumpuan pelancong dari luar termasuk Semenanjung Malaysia.
PESTA KAUL
Pesta Kaul merupakan pesta ikonik bagi bandar Mukah.
Terletak kira-kira lima minit dari bandar Mukah, tapak pesta tahunan ini diadakan di pantai Kala Dana yang biasanya pada minggu pertama April.
Antara aktiviti menarik yang menjadi simbol kepada Pesta Kaul ialah ‘Tibau’ yang dimainkan lelaki, wanita dan juga kanak-kanak.
Menurut tradisi Melanau, Pesta Kaul diadakan untuk menyucikan kaum mereka daripada unsur-unsur roh darat.
Roh-roh ini akan dijemput dan dibawa keluar dari kampung menggunakan bot dan diberikan ‘persembahan’ (makanan, rokok, sirih dan pinang) dan mereka kemudiannya dihanyut menggunakan ‘Saraheng’ di Muara Sungai.
Mengikut sejarah Pesta Kaul, pesta itu diadakan untuk mengembirakan roh-roh laut, darat, hutan dan kebun yang menjadi aktitiviti terpenting dalam kalender tradisi kaum Melanau.
Antara aktiviti lain yang turut dianjur bagi memeriahkan pesta itu selain Tibau seperti pesta makanan, pertandingan ratu kecantikan dan banyak lagi. -EDISI UKAS