Sibu Bandar Sejarah Sedia Terima Kunjung Orang Ramai Sempena SUKMA XXI Sarawak 2024

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Sibu telah bersedia sepenuhnya bagi menyambut ketibaan orang ramai berkunjung ke bandar itu bersempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

 
Sibu menjadi tuan rumah bagi penganjuran beberapa kategori sukan pada temasya itu kali ini.
 
Ini termasuk penganjuran Bola Sepak di Stadium Tun Ahmad Zaidi dan di Stadium Azman Hashim.
 
Bola Tampar akan diadakan di Dewan Bola Tampar, Rejang Park dan juga Badminton yang diadakan di Dewan Tertutup Sibu.
 
Terkenal dengan mercu tanda Angsa, Sibu menjadi destinasi wajib perlu dikunjungi terutamanya bagi pengunjung yang pertama kali menjejak kaki ke Bumi Kenyalang.
 
Bandar ini yang pada satu ketika dahulu dikenali sebagai Maling dan juga Sibau mempunyai tarikan tersendiri dengan kepelbagaian budaya, warisan, tempat bersejarah malah kaya dengan keunikan makanannya.
 
Terletak di wilayah tengah Sarawak dan di tebing Sungai Rajang, penduduk majoriti di Sibu adalah Cina, Iban, Melayu dan Melanau yang mengabungkan kepelbagaian menjadikan Sibu sebuah bandar harmoni.
 
Sebut sahaja Sibu, sudah pastinya bandar terbesar di sepanjang Sungai Rejang itu terkenal dengan masakan tradisionalnya seperti Kampua, Mee Sua dan juga Kompia.
 
Malah, ia juga menjadikan Sibu sebagai bandar istimewa terutamanya bagi rakyat Sarawak sendiri.
 
Sibu terdiri daripada daerah Sibu, Kanowit dan Selangau yang mempunyai keluasan 8,278.3 kilometer persegi.
 
Pada suatu ketika dahulu, sekitar tahun 60-an hingga 90-an Sibu terkenal dengan industri balak.
 
Sibu turut dikenali dengan industri pembinaan kapal. Kebanyakan limbungan kapalnya terletak di kawasan Perindustrian Perkapalan Rantau Panjang dan Sungai Bidut.
 
Disebalik kemajuan yang dilihat pada masa ini, Sibu mempunyai tempat, warisan dan sejarahnya tersendiri yang perlu dikongsi dan diteroka bersama orang luar.

 
Wong Nai Siong Memorial Park

 
Sejarah perkembangan Sibu bermula pada tahun 1901 apabila pemimpin revolusioner Cina dan pengajar dari wilayah Minqing di wilayah Fujian China dan pengikutnya yang berdialek 'Foochows' di bawah pimpinan Wong Nai Siong mula bertapak di Sibu.
 
Menurut sumber, sebelum Wong tiba di Sibu, beliau pernah mengunjungi Semenanjung Malaysia, Singapura, dan Sumatera.
 
Namun, kawasan tersebut tidak sesuai dijadikan tempat tinggal sehingga beliau datang ke Pulau Borneo. Wong mendapati tanah di tepi Sungai Rejang sangat subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian.
 
Oleh itu, beliau Wong memilih Sibu sebagai lokasi baharu untuk penempatan mereka.
 
Wong kemudiannya segera berjumpa dengan Raja Muda Borneo, Charles Brooke, untuk membincangkan pendirian tapak pertanian di kawasan Sibu.
 
Perjanjian antara Raja Brooke dan Wong Nai Siong ditandatangani pada 9 Julai 1900 di Kuching.
 
Ini diikuti dengan beberapa siri penghijrahan imigran cina ke Sibu sebelum mereka mendirikan kawasan penempatan di Sungai Merah.
 
Sebagai memperingati sejarah penghijrahan ini, Wong Nai Siong Memorial Park telah dibina di Sungai Merah.
 
 
 
Tokong Tua Pek Kong

 
Satu lagi tempat menarik di bandar Sibu ialah Tokong Tua Pek Kong.
 
Tersergam indah di tebing Sungai Rajang, tokong dengan tujuh pagoda itu menjadi salah satu daripada mercu tanda bandar Sibu.
 
Pada mulanya tokong ini dibina dengan menggunakan kayu, namun dibina semula pada tahun 1897 berdasarkan reka bentuk Taoist bersama sebuah pagoda tujuh tingkat.
 
Tokong ini telah mengalami kerosakan akibat perang dunia kedua sekitar tahun 1942 namun dapat dibaiki.
 
Keunikan pada bangunan tokong yang tertua di bandar Sibu itu sering menarik perhatian pelancong untuk melihat lebih dekat seni budaya yang dimilikinya.
 
Pengunjung juga dibenarkan untuk menaiki tingkat atas pagoda dan menikmati pemandangan Sungai Rajang terutamanya semasa waktu matahari terbenam.
 
Tokong ini merupakan tapak bersejarah dan merupakan pusat aktiviti keagamaan dan kebudayaan penganut Buddha yang bukan sahaja sering dikunjungi penganut tempatan tetapi juga dari Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur malah ada yang datang dari negara Brunei, Singapura dan Xiamen, China.
 
Bagi pencinta sejarah dan seni warisan, Tokong Tua Pek Kong adalah destinasi yang tepat untuk dikunjungi.
 


Tokong Naga Jade
 

Selain Tokong Tua Pek Kong, satu lagi tokong yang menjadi kebanggaan penduduk Sibu ialah ialah Tokong Naga Jade yang juga dikenali sebagai Yu Lung San Tien En Si dan yang terletak di Jalan Sibu-Bintulu.
 
Kompleks tokong itu dibina pada Oktober 2004 kebanyakannya menggunakan bahan diimport khas dari negara China.
 
Setiap bangunan dalam tokong mempunyai dewan besar yang menempatkan patung-patung Buddha dan dewa Cina.
 
Tokong ini juga dipercayai merupakan tokong yang terbesar, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Asia Tenggara yang bukan sahaja menempatkan pusat keagamaan tetapi juga menjadi tarikan pelancong disebabkan seni binanya yang unik dan menarik.
 
 
 
Pasar Malam Sibu
 

Bagi pengemar makanan, Pasar Malam Sibu di Jalan Market merupakan destinasi tepat untuk mendapatkan pelbagai jenis makanan dan minuman.
 
Aroma lauk pauk memenuhi ruang pasar malam itu sudah pasti membangkitkan selera para pengunjung.
 
Dibuka pada setiap hari bermula jam 5 petang, pasar malam itu mempunyai lebih 100 buah gerai yang menjual aneka makanan, minuman malah ada juga pakaian, buah-buahan, aksesori wanita dan lelaki serta mainan kanak-kanak.
 
Suara peniaga memeriahkan lagi suasana pasar malam dengan masing-masing sibuk melayan pengunjung.
 
Di sini, pengunjung begitu mudah mendapatkan pelbagai jenis makanan. Mungkin ada diantaranya sukar didapati di tempat lain.
 
Kuih tradisional masyarakat Cina antara yang menjadi tarikan terutamanya kompia dan Sio Bee (Hokkien) atau Siu Muai (Foochow) yang dihasilkan menggunakan cara tradisional.
 
 

Terminal Penumpang Sibu

 
Pada satu ketika dulu, Terminal Penumpang Sibu antara tempat yang 'sibuk' di bandar Sibu terutamanya menjelang Gawai Dayak.
 
Warga kota yang bekerja mencari rezeki di bandar-bandar utama lain mula memenuhi terminal itu seawal 28 Mei setiap bulan untuk balik ke kampung dan rumah panjang di Kapit atau di Song menggunakan bot ekspres bagi merayakan Hari Gawai pada 1 Jun bersama keluarga.
 
Begitu juga sebaliknya, terminal itu kembali meriah dengan penumpang bot ekspres untuk balik semula ke tempat kerja.
 
Namun pada masa ini, Terminal Penumpang Sibu begitu 'sepi'. Tiada lagi kelihatan bot-bot ekspres yang menanti dan tiba.
 
Siapnya jalan dari Sibu ke Song dan Kapit menjadi faktor utama kepada perkhidmatan bot ekspres beransur tidak diperlukan sehingga perkhidmatan bot ekspres Sibu-Kapit yang terakhir adalah pada 14 Januari 2023.
 
Bagaimanapun terminal itu sentiasa menjadi kenangan bagi mereka yang pernah bergantung kepada perkhidmatan bot ekspres.
 
Kini Terminal Penumpang Sibu menjadi satu lagi lokasi sejarah bagi bandar Sibu.
 

 
Pasar Sentral Sibu

 
Tidak lengkap berkunjung ke Sibu jika tidak singgah di Pasar Sentral Sibu.
 
Pasar yang merupakan terbesar di negara ini dengan lebih 1,000 peniaga menjual pelbagai jenis produk tempatan termasuk kraftangan makanan dan minuman.
 
Dibina pada tahun 1996 dengan kos RM12 juta, pasar itu terus dinaik taraf bagi memudahkan para peniaga dan orang ramai yang berkunjung.
 
Pasar ini terkenal dengan buah Dabai yang dibawa dari Kapit dan Song dan sering menjadi 'buruan' bagi pengemar buah itu kerana isinya lunak dan dikatakan berbeza dengan Dabai dari bahagian lain di Sarawak.
 
Setiap kali musim buah-buahan tiba, pasar ini akan menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari luar dan bahagian lain di Sarawak untuk mendapatkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan bukan sahaja Dabai tetapi juga buah bermusim lain seperti 'Engkala', Durian, 'Isu', rambutan, 'Pakan' dan sebagainya.
 
Ada diantaranya sukar didapati di tempat lain.
 
Selain itu, ayam 'surat khabar' turut menjadi tarikan terutamanya bagi pengunjung luar yang berkunjung ke pasar ini.
 
Ia seolah-olah pelik bagi mereka yang pertama kali menjejak kaki ke bandar Sibu.
 
Namun bagi peniaga, ayam yang dibungkus menggunakan surat khabar bukan sahaja memudahkan urusan menjual tetapi jual menekankan konsep kebersihan.
 
Di aras dua, pengunjung boleh mendapati pelbagai aneka jenis lauk-pauk tempatan dan juga makanan laut yang sudah pastinya berpatutan malah lebih murah jika dibandingkan di tempat lain.
 
Selain itu, aras dua turut menempatkan kedai-kedai yang menjual pakaian, aksesori dan juga kraftangan.
 
Pasar ini juga pernah menjadi lokasi persinggahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam jelajah Kembara Kenali Borneo pada tahun 2023.
 
Baginda diiringi tiga putera baginda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
 
Lima lokasi itu hanya sebahagian daripada destinasi yang perlu dilawati jika pertama kali berkunjung ke bandar Sibu.
 
Masih banyak lagi tapak-tapak sejarah dan tempat menarik yang terdapat di Sibu termasuklah keindahan di sepanjang Sungai Rajang.
 
Malah Sibu juga menyimpan 1001 peristiwa sejarah semasa era pemerintahan Barat.
 
Keberanian Rosli Dhoby yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British masih segar diingatan warga Sibu.
 
Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau di Sibu pada 3 Disember 1949.
 
Rosli akhirnya dihukum gantung pada 2 Mac 1950. Bersamanya, turut digantung adalah rakan seperjuangannya, Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin, dan Bujang Suntong.
 
Selain sejarahnya, Sibu juga dikenali sebagai pintu masuk wilayah tengah Sarawak.
 
Terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, Sibu menyaksikan keharmonian masyarakatnya dan kini terus membangun. -EDISI UKAS