Geran MRP Tidak Boleh Diserah Secara Tunai

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS






TATAU: Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) tidak boleh diserah secara tunai kepada penduduk rumah panjang.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, sebaliknya MRP ini digunakan untuk pengelolaan aktiviti serta melaksanakan projek-projek kecil di rumah rumah panjang.

Justeru, beliau berharap dana yang diberikan diuruskan secara telus melalui mesyuarat.

"Dana MRP ini harus diurus dengan telus dan adakan mesyuarat terlebih dahulu di kalangan penduduk rumah panjang atau ahli-ahli persatuan dan sebagainya.

"Semua perbelanjaan geran MRP ini harus direkodkan dalam minit mesyuarat," katanya ketika Majlis Penyerahan Cek MRP di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tatau di sini pada Isnin.

Sebanyak 62 cek MRP diserahkan kpada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita, serta pelbagai persatuan dengan nilai keseluruhan adalah berjumlah RM1,468,000.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu memberitahu, pihaknya telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan Pejabat Daerah kecil di Nanga Tau.

Katanya, pihak berkaitan juga akan menambahbaik kemudahan infrastruktur seperti projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Nanga Tau, Tatau.-EDISI UKAS