Penggunaan Dron Di Tempat Awam Perlukan Permit

Disiarkan pada 13 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS

 
KUCHING: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan mana-mana pihak di negeri ini untuk mendapatkan kebenaran dan permit sebelum menerbangkan dron di tempat awam atau dalam ruang udara terkawal.
 
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ramai rakyat Sarawak tidak sedar bahawa operasi dron terutamanya di tempat awam atau berhampiran kawasan sensitif adalah dikawal oleh undang-undang.
 
Menurutnya, peraturan ini bukan sekadar birokrasi tetapi ia adalah langkah keselamatan yang penting untuk melindungi keselamatan awam, keselamatan negara, dan privasi entiti serta individu.
 
“Permit ini memastikan bahawa operasi dron dijalankan dengan selamat, bertanggungjawab, dan dalam cara yang tidak mengganggu pengguna ruang udara lain termasuk pesawat komersial dan tentera,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Keselamatan Penerbangan Sarawak 2024 di sini pada Selasa.
 
Dato Sri Lee menambah, pihaknya telah memerhatikan trend yang membimbangkan di mana ramai individu yang mengendalikan dron di tempat awam tanpa kebenaran yang betul. 
 
Jelasnya, aktiviti ini yang sering dilakukan dengan niat baik atau untuk hiburan peribadi telah menyebabkan pelbagai insiden di mana pengendali dron mendapati diri mereka melanggar undang-undang.
 
Akibatnya, ramai pengendali dron ditangkap oleh pasukan penguatkuasa kerana mengendalikan tanpa permit yang diperlukan yang dikeluarkan CAAM.
 
Justeru katanya, Kementerian Pengangkutan Sarawak komited untuk melancarkan kempen kesedaran awam yang menyeluruh, yang akan melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, pemimpin komuniti, dan media untuk menyebarkan maklumat mengenai peraturan dron.
 
“Kami akan menganjurkan bengkel, seminar, dan program outreach untuk mendidik awam, di seluruh Sarawak, sama ada di Wilayah Selatan, Tengah, atau Utara, di mana akses kepada maklumat mungkin terhad,” katanya.
 
Beliau juga menyeru agar semua persatuan, syarikat dan individu di Sarawak untuk mengambil isu ini dengan serius dan terus bekerjasama untuk memastikan setiap penerbangan dron di Sarawak dilakukan secara sah, selamat, dan dengan hormat yang tinggi terhadap alam sekitar serta sesama rakyat.
 
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Dato Kapten Norazman Mahmud serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS