SIBU: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan dana khas sebanyak RM25 juta dalam bentuk pinjaman menerusi Affin Bank bagi menyokong usahawan wanita di wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dana tersebut khusus kepada mereka yang sudah mencapai kejayaan dan ingin mengembangkan perniagaan di peringkat lebih tinggi.
Bagaimanapun menurutnya, pemohon hendak mempunyai rekod transaksi komersial yang baik serta menunjukkan inovasi kewangan dalam pengurusan perniagaan mereka.
"Seseorang usahawan perlu ada usaha sendiri dan tidak hanya menerima bantuan kewangan secara tunai sahaja, ia terpulang dengan bagaimana anda menguruskan perniagaan melalui inovasi kewangan anda,"katanya.
Beliau mengumumkan berita gembira itu semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Sarawak 2024, di sini pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) juga akan meneruskan pelaksanaan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak berjumlah RM2.5 juta.
Geran berbentuk peralatan perniagaan berjumlah RM2,000 secara one-off kepada setiap penerima yang layak itu merupakan salah satu daripada bantuan khusus kepada usahawan wanita Sarawak dalam kumpulan B40 dengan tujuan memperkukuh dan memajukan perniagaan mereka.
Pada majlis itu, Datuk Patinggi Abang Zohari telah menyampaikan anugerah kepada tokoh-tokoh wanita Sarawak 2024 yang terpilih berdasarkan tema sambutan, iaitu "Sarawak Women In Innovation and Technology'.
Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita dianugerahkan kepada Umang Nangku Jabu, Anugerah Premier Sarawak Usahawan Wanita dianugerahkan kepada Lim Hii Ching dan Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita dianugerahkan kepada Datin Sultan Patimah SKS Ismail, Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas (Innovation & Technology) dianugerahkan kepada Associate Prof. Ts. Dr. Siti Kudnie Sahari dan Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda Wanita dianugerahkan kepada Hannah Toh Hong Na.
Manakala, Anugerah Pertubuhan Cemerlang pula dianugerahkan kepada Destiny For Children Sibu.
Hadir memeriahkan sambutan tersebut ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Flovia Ng serta tetamu kenamaan lain. -Edisi UKAS